Sukan Hari Ini

Rayzam Pecah Rekod Kebangsaan 23 Tahun 110m Berpagar Di Jerman

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga negara menerima suntikan terbaik menjelang Sukan SEA Ogos ini apabila Rayzam Shah Wan Sofian menjadi atlet terbaru memecahkan rekod kebangsaan dengan memadamkan rekod 23 tahun acara 110 meter berpagar di Kejohanan Kurpfalz Gala, di Jerman pada Sabtu.

Rayzam Shah, 29, dari Sabah mencatat 13.67 saat yang dilakukan dengan bantuan angin berkelajuan 1.7 meter sesaat, yang masih di bawah 2 meter sesaat yang dibenarkan, dalam acara akhir 110m berpagar untuk memadamkan rekod lama 13.73s milik Nur Herman Majid.

Ketua jurulatih negara, Zainal Abas mengesahkan rekod baharu itu apabila dihubungi Bernama pada Sabtu.

Rayzam pula berkata, beliau gembira dapat memecahkan rekod yang sudah begitu lama dipegang Nur Herman yang dilakukannya di Sukan Asia Hiroshima, Jepun pada 1994.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya…Saya tidak percaya dapat memecahkan rekod kebangsaan dan saya bangga dengan pencapaian ini,” katanya kepada Bernama melalui aplikasi Whatsapp.

Terdahulu, jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsudin sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, kali ketiga dalam tempoh seminggu, dalam tiga kejohanan berasingan di Eropah.

Beliau memecahkan rekod lama miliknya 59.29 meter apabila mencatat 61.10m di Kejohanan Hallesch Werfertage di Halle, Jerman pada 21 Mei lalu sebelum memperbaharuinya kepada 61.56m di Turnov, Republik Czech pada Rabu sebelum sekali lagi melakukannya di Austria, dua hari kemudian dengan jarak 62.55m.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");