Berita Hari Ini

RM9.7j Untuk Sekolah, Pondok

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM9.7 juta kepada 46 institusi pondok dan sekolah agama rakyat di negeri ini bagi tujuan pembangunan dan infrastruktur institusi tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan itu susulan selepas penyampaian RM50 juta peruntukan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kelantan adalah negeri paling banyak terima peruntukan tersebut kerana kita mempunyai banyak institusi pondok dan sekolah agama, berbanding negeri lain.

“Untuk kali ini, setiap institusi pondok akan terima lebih RM200,000 untuk digunakan sebagai pembangunan termasuklah memperkemaskan lagi segala aspek diperlukan terutama keselamatan di institusi tersebut,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut lapor Sinar Harian.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustapa.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada hasrat perdana menteri untuk memperkasakan lagi institusi pondok dan tahfiz, sekali gus melahirkan lebih ramai tahfiz serta hufaz yang berorientasikan profesional di negara ini.

Malah katanya, kerajaan mengunjurkan pada 2050, Malaysia akan memiliki lebih 135,000 hufaz yang berjaya dalam pelbagai bidang untuk membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.

“Melalui sumbangan ini juga jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat tidak mengira ideologi, umur dan fahaman politik. Ia melibatkan Islam dan ini adalah agenda bersama.

“Perkara ini sudah termaktub dalam perlembagaan. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi dalam kepentingan untuk agama Islam, kita wajib bersatu dan bermuafakat.

“Saya harap institusi yang menerima bantuan ini akan guna peruntukan sebaik mungkin untuk memperkemaskan lagi institusi pondok dan sekolah mereka bagi memudahkan lagi aktiviti pendidikan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");