Sukan Hari Ini

Sasar Kelompok 50 Terbaik Dunia

PEMAIN muda perseorangan wanita negara, S Kisona meletakkan sasaran untuk melonjak ke kedudukan 50 terbaik dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum mencecah usia 20 tahun.

Kisona yang ketika ini berada di kedudukan 141 dunia berpendapat sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai andai mengambil kira prestasi konsisten yang ditunjukkannya ketika ini.

Selain itu katanya, beliau juga menyasarkan untuk meraih lebih banyak kejuaraan antarabangsa bagi membolehkannya beraksi di kejohanan lebih besar pada masa depan.

“Saya perlu bekerja lebih keras dalam meningkatkan prestasi. Jika berjaya, saya yakin mampu berada dalam 50 terbaik dunia.

“Tetapi, saya akan cuba langkah demi langkah, paling penting dalam setiap perlawanan dan latihan saya perlu ada peningkatan dari segi fizikal dan mental.

“Bagi saya, untuk terus cemerlang dalam sukan badminton, jangan mudah putus asa, Set minda untuk terus berjaya adalah paling penting,”  katanya.

Kisona berkata, beliau hampir putus asa selepas bergelut dengan pelbagai kecederaan termasuk kecederaan ligamen lutut, tulang rawan dan meniscus kaki kanan.

Bagaimanapun katanya, dengan nasihat serta kata-kata semangat daripada keluarga serta jurulatih, beliau bangkit dan akhirnya berjaya memenangi kejuaraan walaupun hanyalah kejohanan kecil.

“Kejayaan ini membuatkan saya lebih berkeyakinan tinggi dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya, Sairul Amar Ayob dan Rony Agustinus yang sentiasa berada di samping saya,” ujarnya yang sudah mempunyai sasaran jangka masa panjang iaitu untuk cuba layak beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo Jepun.

Baru-baru ini, Kisona meraih kejuaraan sulung di peringkat senior selepas menumpaskan pemain tuan rumah Gregoria Mariska Tunjung pada Siri Antarabangsa Indonesia.

Ia bukan mudah buat pemain mana-mana negara untuk muncul juara di Indonesia namun pemain berusia 19 tahun itu membuktikan perkara itu tidak mustahil selepas menumpaskan pilihan ketiga kejohanan itu 10-21, 21-16, 21-19 di Surabaya.

Menceritakan detik bersejarah itu, Kisona yang berasal dari Negeri Sembilan dan fasih berbahasa Mandarin berkata, keyakinan beliau semakin meningkat selepas mara ke separuh akhir.

“Selepas berjaya di peringkat separuh akhir, saya lebih yakin dan bersemangat.

“Pada akhir, bagi saya masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri tetapi siapa yang mampu mengawal emosi dan mental akan lebih yakin menguasai gelanggang,” katanya yang menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada tahun 2012.

Idam pentas Sukan Sea

Sementara itu, Kisona turut memasang impian untuk layak beraksi pada Sukan Sea 2017  walaupun akan menghadapi saingan getir.

Kejayaannya meraih kejuaraan sulung di peringkat senior baru-baru ini menyemarakkan semangatnya.

Setakat ini, hanya Goh Jin Wei dan Sonia Cheah disahkan beraksi pada kejohanan dwitahunan itu.

Kini Kisona perlu bersaing dengan Ho Yen Mei, Lee Ying Ying,  M Thinaah dan Lim Yin Fum untuk merebut dua lagi slot untuk pemain perseorangan wanita.

Dalam pada itu, jurulatihnya, Sairul Amar Ayob yakin peluang anak buahnya dipilih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggalas tanggungjawab di pentas Sukan Sea Ogos depan tampak cerah.

“Kisona berada di kedudukan lebih rendah berbanding pemain lain, tapi mempunyai permainan yang baik di gelanggang,” katanya.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");