Berita Hari Ini

Semua Kaum Suka Cari Ah Long

SEMUA orang tanpa mengira kaum suka mendapatkan sindiket pinjaman wang haram ah long dengan alasan-alasan tertentu.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, setiap kaum mempunyai alasan mereka sendiri apabila ingin memperoleh pinjaman wang daripada ah long.

“Bagi kaum Cina, kebanyakan mereka melakukan pinjaman wang kerana mahu judi, manakala kaum Melayu dan India pula cenderung menyertai skim cepat kaya.

“Inilah kesimpulan yang boleh saya nyatakan sepanjang masalah dan aduan yang diterima. Lebih kurang 70 peratus kaum Cina yang saya temui memberitahu mereka terpaksa meminjam wang dengan ah long kerana mahu berjudi.

“Akhirnya mereka bukan sahaja tak mampu membayar pinjaman ah long, malah akibat sikap tamak, ahli-ahli keluarganya turut menjadi mangsa,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, seperti kaum Cina, kebanyakan kaum Melayu dan India membuat pinjaman wang dengan ah long kerana mahu cepat kaya.

“Ramai kaum Melayu dan India suka sertai syarikat-syarikat yang memperkenalkan skim cepat kaya. Daripada pinjaman wang ah long, mereka sanggup buat pelaburan di situ kononnya dijanjikan pulangan lebih lumayan.

“Malangnya, boleh dikatakan hampir semua daripada mereka jadi mangsa penipuan,” katanya.

Menurutnya, sejak 10 tahun lalu, kaum Cina adalah kaum paling ramai berurusan dengan ah long, iaitu kira-kira 80 peratus berbanding kaum Melayu (12 peratus) dan India (8 peratus).

“Bagaimanapun, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sudah ada tanda-tanda menunjukkan semakin ramai kaum Melayu gemar mencari ah long, iaitu mencecah hampir 20 peratus berbanding kaum Cina dengan jumlah yang telah menurun kepada 70 peratus dan kaum India naik kepada 10 peratus,” katanya.

SPRM beri jaminan siasat setiap aduan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memberi jaminan, pihaknya akan melakukan siasatan selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai sebarang kes rasuah.

“SPRM akan melakukan tindakan secepat mungkin terhadap aduan yang diterima untuk mendakwa sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Saya tidak mahu lagi tengok ada mana-mana peniaga yang dipaksa memberi sogokan semata-mata mahu selesaikan masalah yang berlaku,” katanya kepada Sin Chew Daily.

Beliau berkata, rakyat perlu ingat bahawa SPRM adalah milik setiap orang dan SPRM sentiasa bersedia bersama rakyat pada bila-bila masa.

“SPRM adalah pelindung kepada rakyat.

“Selagi ada orang buat laporan, tidak kira siapa yang kena adu, SPRM tetap akan menjalankan tugas mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.

Dzulkifli turut menggesa orang ramai supaya jangan lagi menggunakan cara sogokan untuk menyelesaikan masalah kerana dengan cara inilah, mereka dapat elak daripada menjadi mangsa penindasan.

“Kalau ada mana-mana pegawai minta sogokan, anda mesti cakap ‘jangan’. SPRM akan bersama anda.

“Sudah tiba masanya untuk berhenti memberi sogokan. Kenapa perlu sogok? Jangan takut, SPRM sedia melindungi rakyat,” tegas beliau.

Masuki era tanpa guna wang tunai

Menjelang 2020, Malaysia akan lebih maju ke depan, memasuki era e-dagang dengan membudayakan rakyat tidak lagi menggunakan wang tunai ketika melakukan pembayaran.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong, rakyat perlu bersiap sedia mulai sekarang apabila era e-dagang bakal menjadi amalan hidup di Malaysia.

“Sebagai contoh, ramai rakyat di China sudah tidak lagi bawa banyak wang ketika berbelanja. Sebagai ganti, mereka hanya perlu mengimbas kod bar dua dimensi dalam telefon bimbit mereka untuk melakukan pembayaran.

“Oleh itu, rakyat juga perlu mengikut perkembangan teknologi ini kerana bukan sahaja di China, malah kebanyakan negara di dunia juga dah biasa dengan urusan perniagaan tanpa melibatkan wang tunai,” katanya yang disiarkan dalam China Press.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");