Berita Hari Ini

Sistem E-Reporting Mudahkan Orang Ramai Buat Laporan Polis

CHERAS: Polis Kuala Lumpur hari ini melancarkan sistem laporan polis melalui dalam talian, e-reporting, bagi membolehkan orang ramai membuat laporan polis tanpa perlu ke balai polis.

Bagaimanapun, ia terhad kepada warga negara Malaysia berusia 18 tahun ke atas manakala hanya kes tertentu sahaja yang boleh dilaporkan melalui sistem ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, laporan yang dibuat harus tidak membabitkan kes-kes jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut oleh polis.

“Sistem ini akan memudahkan orang ramai kerana laporan boleh dibuat di rumah mereka, tanpa perlu datang ke balai.

“E-reporting ini tidak memerlukan sebarang pengesahan kerana laporan ada nombor laporan dan dan ia boleh digunakan tersebut untuk dapatkan dokumen asal.

“Kalau anda hilang kad pengenalan anda boleh buat e-reporting, cetak di rumah dan hantar ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk dapatkan yang baharu,” kata Amar Singh memetik sumber Astro Awani.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan sistem e-reporting dan sistem semakan online (SSO) pada Program Menembak Polis Kuala Lumpur Bersama Media di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Khas, Cheras.

Menurut Amar Singh, jenis aduan yang boleh dibuat menerusi e-reporting adalah kes hilang atau tercicir kad pengenalan, lesen memandu, pasport, kad kredit atau kad ATM, hilang telefon bimbit, komputer riba, cukai jalan dan kes pembantu rumah lari dari majikan.

Katanya, sistem e-reporting ini adalah antara inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Buat masa ini, e-reporting hanya boleh diguna pakai di Kuala Lumpur dengan projek perintis dilancarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 10 Mac lalu.

Bagi tahun 2015, daripada 473,834 laporan polis yang diterima, 80 hingga 90 peratus kes itu tidak memerlukan siasatan kerana tidak membabitkan kes jenayah

Begitu juga pada tahun lalu, daripada lebih 365,000 laporan polis yang diterima, lebih 312,000 kes tidak disiasat kerana tiada unsur jenayah.

Justeru, adalah lebih mudah orang ramai membuat laporan polis melalui e-reporting, cetak laporan yang dibuat dan membawanya ke mana-mana agensi yang berkenaan untuk mendapatkan dokumen baharu menggantikan yang hilang.

Ia tidak memerlukan pengesahan kerana akan terpapar nombor laporan polis yang sahih pada setiap laporan polis yang dicetak.

Cara ini juga dapat mengurangkan beban kerja anggota polis di pejabat pertanyaan setiap balai.

Dengan menggunakan sistem ini, katanya, orang ramai boleh membuat laporan polis daripada rumah atau telefon bimbit masing-masing, sekaligus mengurangkan masa menunggu di balai polis atau kaunter pertanyaan.

Selain itu, Amar Singh berkata, orang ramai juga boleh menggunakan SSO untuk menyemak perkembangan siasatan ke atas laporan polis yang pernah dibuat sebelum ini, melalui sistem dalam talian.

Untuk semakan status kes melalui SSO, tiada had tarikh laporan polis ditetapkan dan ia membabitkan semua jenis laporan polis termasuk yang membabitkan unsur jenayah.

Semua jenis kes dan laporan polis dari seluruh negara boleh disemak menggunakan SSO.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");