Perak Hari Ini

Sistem Penggera Banjir Dipasang Di Kg Chegar Galah

Pengurus Besar Bahagian Penjanaan Stesen Janakuasa Sungai Perak, Mazlan Mohd Som

KUALA KANGSAR:Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memasang sistem penggera Banjir yang kedua di Jeti Kampung Chegar Galah di sini sebagai langkah awal menghadapi risiko bencana banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemasangan sistem penggera bencana merupakan satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang baik.
“Pendekatan bersepadu antara pihak TNB, APM dan JPS ini mampu untuk menyelesaikan masalah berkaitan banjir di kawasan  yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Penjanaan Stesen Janakuasa Sungai Perak (TNB), Mazlan Mohd Som berkata, usaha itu merupakan kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak selaku sekretariat Bencana Negeri.

“Hasil kajian kami telah mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk pemasangan siren kecemasan dan satu lagi dipasang di Kampung Gajah,” katanya kepada media sejurus selepas majlis perasmian sistem penggera banjir di Empangan TNB Chenderoh di Jeti Kampung Chegar Galah di sini hari ini.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah merasmikan sistem penggera itu sempena program permukiman Menteri Besar di Daerah Kuala Kangsar.

Jelasnya, TNB merangcang untuk memasang sistem penggera di sepanjang Sungai Perak kelak sekiranya sistem ini terbukti berjaya mengurangkan impak kejadian bencana banjir.

“Kawasan operasi TNB adalah di kawasan Temenggor dan Chenderoh namun apabila beroperasi pastinya ada kawasan lain yang terjejas jadi ia perlu dipasang sepanjang Sungai Perak,” katanya.

Katanya sistem ini akan diaktifkan apabila pihak TNB, APM dan JPS mengesan taburan hujan, tahap air di empangan dan risiko kejadian banjir di satu-satu kawasan.

“Kita akan berinteraksi dengan pihak APM dan mereka akan membunyikan siren kecemasan itu dan juga boleh dibunyikan menerusi sistem pesanan ringkas (sms)” katanya.

Tambahnya lagi, pihak sekretariat bencana akan menghubungi pelbagai agensi terlibat seperti Polis dan pihak hospital bagi menghadapi kemungkinan banjir berlaku.

“Satu prosedur operasi standard (SOP) lengkap mengenai operasi penggera ini akan dijalankan dengan melibatkan penyertaan jawatankuasa kampung (JKK) bagi memudahkan prosesnya.

“Ia adalah satu projek jangkamasa panjang dan bagi tahun 2017 hanya dua penggera kecemasan dipasang dan ia akan ditambah sekitar 40 penggera akan disediakan mengikut keperluan di sepanjang Sungai Perak,”katanya lagi.

Dua jenis isyarat permakluman kecemasan akan berbunyi iaitu siren terputus-putus memberi makluman untuk langkah siap sedia manakala bunyi siren berterusan menandakan amaran bahaya yang memerlukan penduduk setempat segera keluar dari kediaman ke kawasan yang selamat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");