Berita Hari Ini

Sorak Jumpa Dalam Penjara

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang dihukum penjara kerana menghina Islam, dilaporkan ketakutan selepas ditempatkan di blok penjara bersama puluhan bekas pegawai yang dipecatnya kerana terbabit dengan rasuah.

Satu sumber memberitahu akhbar Warta Kota, Basuki atau dikenali sebagai Ahok disorak tahanan ketika masuk ke Blok C14 di penjara Cipinang kelmarin.

“Beberapa tahanan bersorak selepas nampak Ahok masuk ke blok ini. Muka Ahok juga kelihatan pucat,” kata sumber itu.

Menurutnya, blok itu menempatkan banduan yang dipenjarakan akibat kesalahan rasuah.

“Banyak bekas pegawai kerajaan yang dipenjarakan Ahok berada di blok ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ahok hanya berada di penjara itu semalaman apabila dia dipindahkan ke pusat tahanan Briged Mobile (Brimob) polis Indonesia di Kelapa Dua, Depok semalam.

Ketua polis Jakarta Timur, Andry Wibowo memberitahu, Ahok dipindahkan dari penjara Cipinang atas faktor keselamatan.

Mahkamah kelmarin menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Ahok selepas didapati bersalah menghina Islam.

Ahok didakwa menghina Islam dalam satu ucapannya pada tahun lalu apabila mendakwa lawannya menggunakan ayat suci al-Quran untuk menipu pengundi supaya tidak mengundinya.

Dakwaan berkenaan menyebabkan imej Ahok tercalar teruk dan dia baru-baru ini gagal mempertahankan jawatannya apabila tewas dalam pilihan raya gabenor.

Ahok yang beragama Kristian dan daripada etnik Cina ditahan dipenjara sementara menunggu rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak dan semalam ribuan pengikutnya berkumpul di beberapa lokasi di seluruh Jakarta bagi menyatakan sokongan terhadap pemimpin itu. – Agensi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");