Jenayah

SPRM Ada Kes Untuk disiasat, Didakwa Setiap Minggu – Dzulkifli

KUALA KRAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai senarai kes penyelewengan kuasa dan rasuah yang akan disiasat atau dituduh di mahkamah setiap minggu, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata mereka berkenaan hanya menunggu masa untuk diambil tindakan.

“Siapa individu terbabit. Kita sudah ada senarainya, maka tunggu dan lihat apakah tindakan kita seterusnya,” katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas merasmikan Program Ziarah Kasih SPRM di Kampung Manik Urai di sini pada Sabtu.

Dzulkifli berkata beliau telah berjanji kepada rakyat untuk memastikan sekurang-kurangnya satu kes akan disiasat atau didakwa di mahkamah setiap minggu dalam usaha SPRM untuk membebaskan negara ini daripada gejala rasuah dan penyelewengan kuasa sehingga 2020.

“Setakat ini saya belum putus asa atau gagal melaksanakan janji saya itu. Kalau dilihat kepada perkembangan semasa sekarang ini, bukan satu kes seminggu tetapi dua, tiga kes kita siasat dan buat pertuduhan di makamah,” katanya.

Dzulkifli berkata sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan kuasa tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita akan ambil tindakan dari semasa ke semasa, oleh itu saya meminta sokongan daripada rakyat Malaysia keseluruhannya kerana kekuatan kami hanya 1,900 anggota dan pegawai untuk menjaga 1.6 juta penjawat awam,” katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Kementerian Dalam Negeri akan memastikan pegawai dan anggota penguat kuasa semua agensi di bawahnya yang meminta rasuah, ditangkap.

Dzulkifli berharap kementerian lain turut mengambil langkah proaktif dalam usaha membersihkan mereka yang terlibat dengan gejala rasuah.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan semua kementerian dan kita juga mempunyai pegawai integriti yang ditempatkan di kementerian terbabit untuk membantu kementerian itu dalam isu rasuah dan penyelewengan kuasa,” katanya.

Mengenai program Ziarah Kasih itu, Dzulkifli berkata pihaknya mahu rakyat bersama SPRM termasuk dalam menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Kita mahu rakyat berani untuk menolak rasuah dan menyalurkan maklumat kepada SPRM bagi diambil tindakan,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan pada program sehari itu termasuk pertandingan sukan rakyat, gotong-royong memasak, kenduri rakyat dan membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Manik Urai.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");