Sukan Hari Ini

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Pentas Terakhir Daniel Bego

NAMA Daniel Bego sudah tidak asing dalam arena sukan renang di mana dia telah beberapa kali berjaya mengharumkan nama negara dalam kejohanan khususnya temasya Sukan SEA.

Namun, pastinya kita akan merindui karier Daniel yang semakin menemui noktahnya pada tahun ini dan sudah tiba masa bagi perenang muda lain seperti Welson Sim untuk meneruskan legasi itu.

Daniel mula mencipta nama sebagai atlet renang negara seawal usia 14 tahun ketika Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.

Dia tidak pernah menghampakan negara di temasya itu sejak penglibatannya pada tahun 2003 dengan pingat emas apabila mengungguli acara 4x200m gaya bebas lelaki.

Sukan SEA 2009 tetap menjadi kenangan manis buat atlet berusia 28 tahun ini yang menyaksikan dia menyapu bersih tujuh pingat emas.

Beberapa rekod kebangsaan turut dilakukan di mana sehingga kini di saingan Terbuka Malaysia yang baru berakhir minggu lalu juga masih belum ada yang berjaya mengatasinya untuk acara 100m gaya bebas, 100m kuak kupu kupu, 50m kuak kupu-kupu dan 200m kuak kupu-kupu.

Namun, nama Daniel semakin tenggelam dek kehadiran perenang muda ketika ini seperti Welson Sim, Chan Jie, Tiaa Faang Der dan ramai lagi.

Dia berasakan sudah tiba masa untuk mengakhiri kariernya bagi memberikan peluang kepada atlet lain pula.

Dan, Sukan SEA Kuala Lumpur edisi ini bakal menjadi aksi terakhir Daniel buat peminat sukan tanah air.

“Saya berharap setiap orang mengingati saya sebagai atlet yang memberikan yang terbaik buat Malaysia. Ketika saya menyertai kejohanan, saya tidak bermain-main dan sentiasa memberikan tumpuan sepenuhnya,” kata Bego.

Di mana ada permulaan, pasti ada pengakhirannya yang mana Daniel meletakkan kepercayaan tinggi buat Welson selepas ketiadaannya.

Welson yang beraksi di pentas Olimpik Rio buat kali pertama itu menjadi sandaran utama negara apatah lagi dia antara yang paling menyerlah sewaktu Terbuka Malaysia apabila berjaya memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 200m gaya bebas dengan catatan 1:48.50 saat.

Sudah tentu, tekanan semakin memuncak buat atlet berusia 20 tahun itu yang perlu memastikan prestasi kekal konsisten, khususnya di Sukan SEA, Ogos ini.

“Semestinya saya berasakan tekanan dengan berbaki kurang daripada tiga bulan sebelum ke Sukan SEA, saya berharap dapat memberikan yang terbaik buat Malaysia,” kata Welson.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");