Isu Panas

Terus Khidmat Demi Rakyat

SHAH ALAM – “Pas Selangor akur dengan ketetapan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat supaya tiga anggota Exco parti itu terus kekal dalam pentabdiran kerajaan negeri,” kata Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasbullah Ridzwan.

Beliau berkata, kesemua anggota Exco dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di Selangor akan terus berkhidmat demi menjaga kepentingan rakyat negeri ini.

“Pas bersama pentabdiran kerajaan negeri. Pendirian dibuat agar tiga Exco Pas dan 10 Adun Pas dan semua lantikan politik parti terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama mengulas ketetapan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dalam mesyuarat khas hari ini, yang memutuskan tiga exco negeri Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri, berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor 1959.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas kekal keputusan, tiga exco tidak letak jawatan]

Spekulasi mengenai kedudukan Exco Pas timbul selepas Majlis Syura Ulamak pada Selasa memutuskan untuk menamatkan hubungan politik dengan PKR susulan tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara kedua-dua parti yang terjalin sejak sekian lama.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata Exco Pas akan terus kekal dan berdiri teguh untuk bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menjaga kepentingan rakyat. ?

Dalam pada itu, Sallehen, yang juga Adun Sabak, menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa Pas Selangor sudah membuat keputusan untuk semua 13 wakil rakyatnya di Selangor keluar daripada pentadbiran negeri jika Menteri Besar akur dengan tekanan oleh komponen Pakatan Harapan untuk mengetepikan Pas.

“Saya menafikan kenyataan itu, Pas Selangor tidak berbincang berkaitan pengunduran (Exco) dan tidak membuat sebarang keputusan berkaitan dengannya,” katanya.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan reaksi daripada ketiga-tiga exco berkenaan Iskandar Abd Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – gagal setelah mereka tidak berjawab panggilan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");