Sukan Hari Ini

TMJ Bantah AFC Tetap Venue Di Pyongyang

KUALA LUMPUR  – “Saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan serta Menteri Belia dan Sukan.

“Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia.”

Itu ketegasan disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bantah perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun.

Baginda yang merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dipetik laporan mStar Online sebagai bertitah, demi keselamatan skuad Harimau Malaya, perlawanan itu perlu diadakan di gelanggang berkecuali.

“Saya dimaklumkan bahawa situasi di sana (Pyongyang) agak teruk. Malah, saya khuatir dengan jaminan keselamatan dan kemudahan penginapan termasuk dari segi makanan dan penginapan di sana.

“Salah satu maklumat saya terima mengatakan kami perlu bawa makanan sendiri kerana isu sabotaj. Masalah mutu pengadilan juga perlu dipandang serius kerana jika keputusan tidak menyebelahi Korea Utara, pastinya keselamatan pengadil terjejas,” titahnya.

Malah, selain isu keselamatan, Tunku Ismail turut memberi perhatian terhadap beberapa kemungkinan yang akan dihadapi oleh skuad Harimau Malaya sekiranya tidak ke Pyongyang.

“Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

“Tambahan lagi, pasukan kita juga akan didenda sehingga AS$50,000 dan bakal disingkirkan daripada menyertai pertandingan kelayakan Piala Asia.

“Besar kemungkinan kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan AFC pada masa akan datang,” titah baginda lagi dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail turut menggesa agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan AFC dengan mengambil kira soal keselamatan pemain.

Sebelum ini, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang sehingga memaksa kedua-dua belah pihak memanggil pulang duta masing-masing.

Ia berikutan kes pembunuhan seorang warga Korea Utara yang dipercayai abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Kim Jong Nam di KLIA pada 13 Februari lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");