Berita Hari Ini

Transformasi Lonjak Prestasi Bumiputera

KUALA LUMPUR: Inisiatif Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) yang dimulakan pada 2011, kini memasuki fasa kedua dari tahun 2017 sehingga tahun 2025, yakni sekitar lapan tahun dari sekarang dengan pelancaran BETR 2.0 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 19 April lalu.

BETR pertama yang juga dilancarkan Perdana Menteri pada 2011, yang mempunyai dua matlamat penting iaitu pertama, memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara melalui penciptaan kekayaan dan keduanya, penyertaan seimbang dalam guna tenaga bidang bernilai tinggi serta pembangunan keusahawanan.

Fasa Pertama inisiatif Bumiputera di bawah Dasar Transformasi Nasional (DTN) ini, antaranya lahirlah inisiatif Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TERAS, Dana Mudah Cara dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

Di bawah program TERAS, Kerajaan mewujudkan Dana TERAS bercagarkan RM332 juta menarik penyertaan lima institusi kewangan yang memberi serta menggandakan kemudahan pembiayaan kepada RM3.14 bilion.

Sehingga Mac 2017, 306 syarikat TERAS menerima kelulusan pembiayaan bagi pembelian aset dan modal kerja bernilai RM1.3 bilion. Dana Mudahcara adalah insentif menggalakkan pelaburan swasta Bumiputera yang mana 469 projek mendapat kelulusan pembiayaan.

Hasilnya, syarikat Bumiputera membuat pelaburan domestik bernilai RM13.18 bilion sekali gus mewujudkan lebih 43,000 peluang pekerjaan.

Manakala Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) bermatlamat memberi peluang kepada pelajar Bumiputera mendapatkan pendidikan dan pekerjaan lebih baik.

Sementara itu, BETR sebagai memasuki Fasa Kedua yang berasaskan kepada Lima Transformasi Utama Bumiputera iaitu melonjakkan Skala Bumiputera, memperkasakan Modal Insan Bumiputera, meningkatkan Daya Saing Bumiputera, mendaya Mobiliti Sosial Bumiputera dan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera.

Dengan cara melonjakkan skala Bumiputera adalah memastikan setiap syarikat Bumiputera ini mempunyai laluan yang jelas dari fasa permulaan perniagaan sehingga fasa matang seperti sebuah syarikat Multi-Nasional Bumiputera.

Ertinya di sini, bagi setiap peringkat perniagaan, Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan, sebagai pemangkin untuk sesebuah perniagaan itu meningkat maju ke fasa yang selanjutnya. Contohnya, memperkenalkan Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) bagi membantu meningkatkan jumlah syarikat untuk disenaraikan secara kolaborasi dengan Ekuiti Nasional atau EKUINAS.

Keduanya, dengan cara memperkasakan modal insan Bumiputera iaitu sebagai penduduk majoriti di negara ini, seharusnya, Bumiputera menjadi penyumbang utama kepada pembangunan dan ekonomi negara, termasuklah di bidang akademik, agama, sains teknologi, kebudayaan mahupun sukan.

Ianya bukan terhad kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi juga peningkatan jati diri dari segi jasmani dan rohani manakala dari perspektif ekonomi pula, pemerkasaan modal insan haruslah dibina untuk mensiap-siagakan kaum Bumiputera menghadapi pelbagai arus cabaran dari dalam dan luar negara.

Sudah sampai masanya untuk kita menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai pemacu kepada penjanaan kekayaan dan berdaya maju agar usahawan atau syarikat Bumiputera mampu berdiri sama gagah, bersaing megah dengan usahawan-usahawan lain.

Ketiganya, dengan cara meningkatkan daya saing Bumiputera iaitu menjadikan kedudukan Bumiputera kini lebih baik dari dahulu.

Jika sebelumnya, syarikat Bumiputera sering dikaitkan dengan kontrak yang mahal ataupun kualiti yang kurang memuaskan, tetapi kini, kita berbangga, mutu kerja dan penyampaiannya adalah tinggi, setanding dengan syarikat bukan Bumiputera, mahupun syarikat antarabangsa.

Keempatnya ialah dengan cara mendaya mobiliti sosial Bumiputera, iaitu peningkatan taraf hidup rakyat daripada kepompong persekitaran yang rendah kepada tahap yang lebih tinggi. Ia juga boleh dilihat dari pelbagai aspek seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan dan pendapatan.

Maksudnya, berlaku perubahan status individu dan masyarakat daripada miskin menjadi kaya, mereka yang unskilled dilatih menjadi berkemahiran tinggi serta golongan berpendapatan rendah pula, akan menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

Kelimanya ialah dengan mentransformasi kesejahteraan Bumiputera secara tuntas dan holistik, sebagai tambahan dan pelengkap kepada 30 peratus ekuiti yang disasarkan melalui DEB, sesuai dengan tuntutan zaman masa kini serta menuju TN50.

Pencapaian ekonomi Bumiputera juga akan diukur dari segi pendapatan korporat dan isi rumah, peningkatan bilangan profesional berdaftar serta penyertaan di peringkat pengurusan dan berkemahiran tinggi.

Maknanya, kalau selama ini DEB melihat dari segi pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat sebagai penanda aras, TKB kini mengambil kira dimensi lebih meluas dalam mengukur kesejahteraan Bumiputera laporan Berita Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");