Berita Hari Ini

Urus Harta Islam: Dari Hangat, Suam-Suam Kuku Sampai Tak Peduli

PETALING JAYA: Adegan ahli keluarga tidak sependapat dalam menguruskan harta pusaka sering dipertontonkan dalam drama dan telenovela bukan sekadar rekaan semata-mata, tetapi hakikatnya ia benar-benar berlaku di negara ini.

Jika tidak, mungkin isu harta Islam bernilai kira-kira RM66 bilion yang tidak dituntut di negara ini sebagaimana yang dilaporkan, tentunya dapat diselesaikan.

Perancang harta Islam, Norisah Ibrahim mengakui masalah paling banyak berlaku dalam soal menguruskan harta pusaka dalam kalangan masyarakat Islam adalah pertikaian waris, terutama semasa mahu melantik pentadbir.

“Waris-waris bergaduh untuk melantik pentadbir pun dah bermasalah, apatah lagi kalau harta itu bernilai jutaan ringgit.

“Nak dapatkan muafakat sangat sukar. Yang bergaduh itu lebih ramai dari mereka yang muafakat.

“Bila banyak pertikaian dan tiada persetujuan, maka masa akan berlarutan dari mula-mula hangat untuk menguruskan, lama-lama suam-suam kuku dan akhirnya semua waris dah tak mahu ambil tahu,” katanya lapor Mstar Online.

Norisah yang merupakan perancang harta Islam di as-Salihin Trustee Berhad berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila ‘orang luar’ bukan dalam kalangan waris akan menjadi batu api yang menyebabkan tiada muafakat dan akhirnya melambatkan proses pentadbiran untuk mencairkan harta.

Beliau menambah, tidak tahu menguruskan harta dengan baik juga merupakan antara punca harta terutama rumah yang dibekukan sehingga berpuluh tahun.

Sehubungan itu, kata Norisah, pemahaman mengenai menguruskan harta semasa hidup dalam kalangan Islam di negara ini masih rendah dan seharusnya diberi kesedaran sewajarnya.

“Banyak kebaikan apabila kita sudah melantik pentadbir di peringkat awal semasa hidup dan sekiranya kita meninggal dunia kelak, proses pentadbiran untuk menguruskan harta menjadi lebih mudah.

“Ia juga mampu menyelesaikan segala hutang-piutang dan membela nasib keluarga terutama anak-anak bawah umur,” katanya.

Selain itu katanya, antara kebaikan lain menguruskan harta Islam adalah pemberian harta kepada saudara bukan Islam atau anak angkat dan untuk tujuan amal jariah.

Bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan isu ini, Norisah merupakan antara penceramah sempena Konvensyen Hartanah anjuran Star Property di Sogo Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 11 sehingga 14 Mei ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");