Isu Panas

1MBD: Pas Tolak Kerjasama Pembangkang

SHAH ALAM – Pas mempunyai pendekatan sendiri dalam isu yang membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diselewengkan.

Ia sekaligus menolak untuk turut sama dalam barisan pembangkang untuk berganding bahu menangani isu ini.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Pas mengambil penyelesaian yang bersifat fundamental dengan usaha membetulkan urustadbir negara, mengembalikan sistem pemisahan kuasa dan membenteras politik wang.

“Perlu ditegaskan, Pas mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi dan roadmap perjuangannya.

“Kami tidak terikat dengan mana-mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Sinar Harian.

Katanya, parti itu tegas menolak kaedah pengurusan kewangan 1MDB yang bercanggah dengan syarak seperti mendapatkan modal dengan cara pinjaman riba dan sebagainya.

“Dalam masa sama, Pas konsisten atas apa jua dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan salah laku, justeru ia mestilah disiasat oleh satu badan siasatan yang profesional dan telus.

“Oleh itu, Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan segera untuk merealisasikan sebuah siasatan yang tidak berpihak,” katanya.

Katanya, Pas bersama Gagasan Sejahtera akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berapa lama lagi guna menjelaskan penyelesaian fundamental mengenai isu rasuah yang membarah, termasuklah berkait 1MDB.

“Selain itu, Pas kini dalam fasa menumpukan perhatian serius terhadap isu-isu yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat terbanyak seperti isu kenaikan harga barang, pengangguran, kos sara hidup, GST dan sebagainya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan perlu menunjukkan ketelusan sekaligus membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan Agensi negara seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan peguam negara dalam menyiasat serta mengambil tindakan kepada pihak terlibat.

“Pas melahirkan kebimbangan dengan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");