Sukan Hari Ini

Atlet Legenda Warnai Larian

ALOR SETAR:  Hampir 100 peserta menyertai Majlis Larian Obor Kuala Lumpur 2017 sempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 di Menara Alor Setar, kelmarin.

Larian obor bermula jam 11.30 malam itu membabitkan jarak 3.2 kilometer yang bermula dari Dataran Wisma Darulaman hingga ke Menara Alor Setar dengan penyerahan obor antara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Kedah Datuk Aminuddin Omar kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah kemudian menyerahkan obor kepada wakil Pegawai Daerah Kuala Muda Junaidi Abdul Rani.

Acara berkenaan turut disertai legenda dan bekas atlet Kedah seperti bekas penjaga gol dan pemain bola sepak Ahmad Sobri Ismail, Farouk Ismail dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Legenda sepak takraw Adnan Saidin dan bekas atlet olahraga Romzi Bakar turut menyertai larian berkenaan.

Beberapa exco kerajaan negeri Kedah seperti Datuk Badrol Hisham Hashim, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Datuk Mohd Rawi Abd Hamid turut tidak ketinggalan menyertai acara.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, pemilihan Pulau Langkawi sebagai lokasi acara perahu layar Sukan SEA Ke-29 adalah pengiktirafan buat Kedah.

Beliau berkata, secara tidak langsung ia juga membuktikan negeri itu turut mempunyai kemudahan sukan terbaik.

“Justeru, rakyat Kedah perlu berbangga kerana kita tidak ketinggalan dalam menjadi tuan rumah kepada satu daripada pertandingan dalam temasya sukan dwi tahunan itu.

“Pemilihan Pulau Langkawi juga membuktikan kita mempunyai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan pasukan negara mampu menggondol emas dalam acara itu nanti.

“Kita menjangkakan sambutan hebat dapat diberikan penyokong Malaysia pada temasya berkenaan.

“Paling penting kita mahukan sokongan dan doa rakyat Malaysia supaya kita selaku tuan rumah menjadi juara keseluruhan pada temasya ini nanti,” katanya.

Jelajah larian terakhir di Kedah bermula di daerah Kuala Muda semalam sebelum obor diserahkan kepada wakil Pulau Pinang.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");