Berita Hari Ini

Cuaca Baik Menjelang Aidilfitri

PETALING JAYA: Menjelang sambutan Hari Raya, cuaca dijangka cerah di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Tarikh kemunculan anak bulan menandakan Syawal tiba ditetapkan pada 24 Jun, dan ramai yang mengatakan Aidilfitri akan disambut pada hari seterusnya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, ramalan cuaca pada Hari Raya Aidilfitri dijangka cerah dan kering kerana angin monsun barat-daya yang melanda.

Monsun barat-daya bermula pada 17 Mei, akan berterusan sehingga September, yang sentiasa dikaitkan dengan kekurangan hujan di Semenanjung dan Sarawak.

“Pada hari raya, jalan sentiasa sesak di lebuh raya, tapi cuaca yang baik akan melancarkan perjalanan kerana jalan kering dan penglihatan lebih jelas,” kata Alui lapor Mstar Online.

Bilangan kenderaan di jalan raya bermula minggu ini dijangka meningkat kerana ramai yang pulang ke kampung.

Selain itu, PLUS Malaysia Bhd berkata, perjalanan ulang-alik di Lebuh Raya Utara-Selatan ketika kemuncak bermula Rabu hingga 3 Julai dengan bilangan kenderaan dijangka mencecah 1.7 juta setiap hari.

Kajian menunjukkan kenaikan sebanyak 30 peratus dari 1.2 juta kenderaan yang dilaporkan menjelang Aidilfitri dua tahun lalu.

Di Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), dijangka 10 peratus kenaikan bilangan kenderaan di Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Selangor menjelang sambutan 1 Syawal.

LDP, yang digunakan lebih 470,000 kenderaan setiap minggu, akan menyaksikan kenaikan sebanyak 10,000 kenderaan minggu ini.

Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia berkata, kadar kesesakan lalu lintas dijangka meningkat di antara 30 dan 40 peratus menjelang sambutan Hari Raya berbanding pada hari biasa.

“Laluan Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dijangka meningkat 50 peratus kesesakan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan persatuan itu.

Untuk mengatasi kesesakan, PLUS telah menyediakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan untuk membantu orang awam merancang perjalanan bermula 21 Jun hingga 3 Julai.

Mereka yang merancang untuk pulang ke kampung dari Lembah Klang ke Perlis, Kedah, Penang, utara Perak dan Johor dinasihatkan untuk menggunakan lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

Selain itu, bagi yang menuju ke destinasi berdekatan seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, selatan Perak dan Perak tengah, dinasihatkan untuk memulakan perjalanan dan masuk ke Lebuh Raya Utara-Selatan selepas pukul 10 pagi pada hari-hari tersebut.

Manakala, Pulau Pinang menjangkakan kemasukan pelawat yang ingin memanfaatkan cuti empat hari pada Hari Raya.

“Tahun lepas, kesesakan tidak terlalu teruk, tetapi masih awal bagi meramal situasi tahun ini,” kata Ketua Polis Trafik, Superitendan Roslan Ali.

Beliau menambah, polis trafik akan bertugas setiap hari untuk Ops Selamat bermula dari sekarang hingga 2 Julai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");