Sukan Hari Ini

Faisal Gembira Dapat Pengalaman Baru

Kuantan: Pemain pertahanan Pahang Mohd Faisal Rosli (tengah) mengaku mendapat pengalaman baru selepas menjalani kem latihan pusat skuad Harimau Malaya biarpun tidak beraksi dalam pertemuan menentang Lubnan pada kempen Kelayakan Piala Asia 2019.

Pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu berkata, pengalaman menjalani latihan bersama rakan terutama mereka yang sudah lama menyarung jersi kebangsaan cukup bermakna bagi dirinya.

Katanya, corak latihan dan bimbingan ketua jurulatih skuad kebangsaan Nelo Vingada diharap mampu membantu meningkatkan prestasi terutama membantu Pahang meraih kejayaan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Sudah pasti saya gembira apabila dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya terutama menimba pengalaman baru bersama rakan yang sudah lama bersama skuad kebangsaan.

“Biarpun gagal mendapat tempat selaku pemain pada perlawanan menentang Lubnan, ia tidak mengecewakan sebaliknya akan berusaha untuk berada dalam skuad utama,” katanya yang baru kembali menyertai latihan bersama Pahang, kelmarin.

Selain Faisal, lima pemain Pahang yang turut dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya ialah Mohd Afif Amiruddin, kapten Matthew Davies, Ahmad Syamim Yahya, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Nor Azam Azih.

Faisal berkata, tumpuannya kini adalah untuk memastikan Pahang merampas kedudukan teratas Liga Super yang diduduki Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");