Sukan Hari Ini

Impian Tak Kesampaian

KUALA LUMPUR: Impian pemegang rekod kebangsaan Khairul Hafiz Jantan meraih emas berganda menerusi acara 200 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand tidak kesampaian, semalam.

Selepas cemerlang menguasai 100m, Khairul, 19, terpaksa akur lariannya belum cukup pantas untuk menewaskan pelari tuan rumah Siripol Punpae apabila ketinggalan 0.07s dan terpaksa berpuas hati dengan perak.

Siripol melepasi garisan penamat dengan catatan 21.39 saat manakala seorang lagi wakil negara G Aravinn Thevarr ketiga (21.47s).

Dalam aksi 400m, Badrul Hisyam Abdul Manap yang terpaksa menarik diri daripada aksi 100m, Isnin lalu menebus kehampaan apabila meraih perak.

Badrul merekodkan 47.77s, tewas kepada atlet Sri Lanka K Hewa Kumarage (47.55s) manakala gangsa milik atlet Thailand (48.17s).

Bagi jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim, biarpun Khairul gagal meraih emas, beliau berpuas hati dengan pencapaian anak didiknya itu.

Katanya, Khairul sudah membuktikan dia kini kembali cergas dan hanya perlu lebih serius dalam latihan selepas ini.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati. Biarpun Khairul tidak berjaya dalam 200m, dia sudah membuktikan berada dalam prestasi terbaik. Saya yakin dia akan lebih pantas sedikit masa lagi. Catatan 10.31s itu baik bagi saya.

“Begitu juga dengan prestasi Badrul. Dia juga menunjukkan peningkatan. Masa dicatatkan di Thailand ini lebih baik berbanding Terbuka Singapura, April lalu,” katanya.

Catatan terbaik peribadi Badrul dalam acara 400m adalah 47.63s yang dilakukan di Afrika Selatan, Mac lalu.

Sementara itu, Komalan Shally menyumbangkan gangsa 200m selepas mencatat 24.53s. Acara itu dimenangi atlet Vietnam Le Tu Chinh (23.52s) manakala perak diraih pelari Singapura Veronica Shanti (23.74s).

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");