Berita Hari Ini

Orang Ramai Disaran Guna Kenderaan Awam

KUALA LUMPUR? – Orang ramai disaran agar mula membuat peralihan daripada menggunakan kenderaan persendirian kepada kenderaan awam bagi mengurang jumlah kenderaan di atas jalan sekali gus jumlah kemalangan di musim perayaan.

Pengarah Eksekutif Program Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia, (UPM-SKM), Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani berkata bukan semua perjalanan memerlukan kenderaan persendirian.

“Pada setiap masa, kita perlu menukar secara perlahan-lahan untuk menggunakan kenderan awam demi keselamatan kita di atas jalan raya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kulanthayan berkata sempena Aidilfitri ini, UPM-SKM memperkenal tiga kaedah bagi menghindar kemalangan iaitu pendedahan kawalan, menghalang pelanggaran dan mengurangkan kecederaan.

“Menggunakan pengangkutan awam adalah antara cara berkesan mengurangkan pendedahan kepada kemalangan,” katanya.

Bagi mengurang pelanggaran dan kecederaan pula ialah dengan mengurangkan kelajuan kenderaan, katanya.

Beliau berkata strategi mengurangkan kecederaan ialah menggunakan sepenuhnya alat keselamatan dalam kenderaan.

“Tali pinggang keselamatan boleh mengurangkan kemungkinan seseorang terbunuh sebanyak antara 40 hingga 50 peratus bagi pemandu dan penumpang hadapan serta 25 peratus bagi penumpang belakang,” katanya.

Kulanthayan berkata kanak-kanak perlu diletak di bahagian belakang kenderaan dan bukan di hadapan kerana beg udara di bahagian hadapan kenderaan tidak sesuai untuk berdekatan dengan kanak-kanak.

Bagi penunggang dan pembonceng motosikal, mereka perlu memakai topi keledar yang mempunyai label SIRIM yang boleh mengurangkan risiko kematian dan 70 peratus risiko kecederaan teruk, katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");