Sukan Hari Ini

Perlu kekal momentum

Kuala Lumpur: Selepas menamatkan saingan di tempat keempat Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, pengendali skuad hoki negara Stephen Van Huizen mengakui banyak kerja perlu dilakukan untuk mengekalkan prestasi dan menjadi antara pasukan digeruni di rantau Asia.

Menurutnya, kekuatan pasukan di rantau Asia memang tidak banyak beza dan enam negara mampu muncul juara Piala Asia (14 hingga 22 Oktober) sekali gus layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Kalau kita tengok tidak ada bezanya kekuatan negara di Asia, memang kita berjaya menumpaskan India tapi mereka sudah pasti akan melakukan ‘post mortem’. Begitu juga Korea Selatan, China dan Pakistan. Bukan satu pasukan saja mampu muncul juara (Piala Asia) tapi enam,” katanya selepas tamat perlawanan penentuan ketiga/keempat kelmarin.

Jelasnya, saingan antara pasukan di rantau Asia memang sangat sengit dan skuad negara harus lebih bersedia, mengekalkan keyakinan, sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan.

“India, saya yakin akan melakukan rombakan dan membuat ulang kaji selepas mereka berasa kehilangan tanpa ketiadaan beberapa tonggak. Mereka mempunyai kelompok pemain besar dan kita juga masih memiliki beberapa pemain, namun paling penting sekarang adalah persediaan dari segi fizikal.

“Sekarang kita perlu mahir dari sudut menukar taktik secara spontan yang tidak perlu menunggu habis suku pertama, kedua mahupun separuh masa pertama. Pemain senior yang mengetuai pasukan ini sudah faham apa yang perlu dibuat kerana ada kalanya kita memberi arahan ketika permainan masih berlangsung,” kata Stephen.

Ujarnya, terdapat perbezaan di antara pemain terbaik dunia dengan tonggak negara terutama dari segi membuat keputusan ketika beraksi dalam tempo dan tekanan tinggi.

“Bagaimanapun, sepanjang kejohanan ini anak buah saya berjaya menunjukkan peningkatan. Seperti contoh ketika menentang England hari ini (kelmarin) mereka mengawal permainan dengan baik sehingga lawan tidak mendapat bola.

“Jika kita lihat kalau pemain tenang memang tidak ada masalah. Tapi, kalau lawan memberi tekanan kena ada jalan penyelesaian. Kita harus bermain tanpa boleh leka walaupun sesaat kerana lawan mampu menghukum,” katanya.

Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat selepas tumpas 1-4 kepada England kelmarin, dengan gol tunggal negara dijaringkan Faizal Saari pada minit ke-53 melalui jaringan padang, manakala Harry Martin menyumbat dua gol pada minit ke-5 dan 28 untuk pasukan tuan rumah.

Dua lagi gol England disumbangkan David Ames (ke-9) dan Phil Roper (ke-59) bagi membolehkan mereka meraih tempat ketiga keseluruhan di belakang Belanda (juara) dan Argentina (naib juara).

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");