Jenayah

Pusat Sembelih Ayam Guna Logo Halal Palsu

LUMUT: Sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Batu 11, Jalan Segari di Segari dekat sini diserbu agensi penguatkuasa kerana didapati menggunakan logo halal palsu pada bungkusan produk keluarannya.

Dalam operasi yang berakhir jam 6 pagi tadi, serbuan dibuat selepas Unit Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Manjung, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Pejabat Agama Daerah Manjung dimaklumkan orang awam.

Ketua Cawangan KPDNKK Manjung, Omar Ismail, berkata operasi itu turut menyasarkan pemeriksaan ke atas beberapa premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh dan Segari.

“Hasil pemeriksaan lanjut di sebuah premis penyembelihan dan memproses ayam di Batu 11, Segari, mendapati premis berkenaan menggunakan perihalan halal ke atas 15 ekor ayam sudah siap diproses.

“Namun tiada maklumat yang menunjukkan pengusaha premis berkenaan memperoleh sijil halal dan menggunakan perihalan halal ke atas produk keluaran mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ayam berkenaan dan beberapa dokumen ditemui kemudiannya disita bagi membantu siasatan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, yang sabit kesalahan memperuntukkan denda maksimum RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIPk, Yusri Abdul Rani, berkata premis berkenaan menggunakan bungkusan yang mempunyai logo halal palsu tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pemeriksaan mendapati semua pekerja yang terbabit dalam urusan penyembelihan ayam di situ juga tidak mempunyai sijil tauliah dan beroperasi tanpa pengawasan JAIPk.

“Premis itu turut mengaburi pembeli dengan mempamerkan sijil tauliah sembelihan milik warga tempatan sedangkan penyembelihan ayam dilakukan oleh warga asing dan ini sangat meragukan,” katanya.

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");