Perak Hari Ini

Rebut Peluang Pelajari Bidang Animasi

TELUK INTAN:  Masyarakat tempatan, terutamanya warga muda di Teluk Intan,disaran supaya tidak melepaskan peluang menceburi dan mempelajari bidang animasi.

Ahli Parlimen Teluk Intan, merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata sejajar dengan perkembangan teknologi penyampaian maklumat terkini, permintaan terhadap kepakaran dalam bidang animasi dijangkakan akan meningkat dengan pesat, terutamanya dengan pembukaan taman hiburan pertama di Asia yang berfokuskan animasi wayang (MAPS: Movie Animation Park Studios) di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Beliau terdahulu telah mengadakan lawatan rasmi ke Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI) pada minggu yang lalu.

Lawatan rasmi tersebut telah memberi peluang kepada Mah untuk berdialog bersama pihak pengurusan tertinggi KKTI berkenaan kursus-kursus yang ditawarkan di KKTI, termasuklah hal-hal semasa pihak kolej.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap KKTI apabila dimaklumkan bahawa institusi itu merupakan salah satu dari dua Kolej Komuniti di seluruh Malaysia yang menawarkan sijil kursus dalam bidang Animasi 3D.

“KKTI adalah amat berpotensi untuk muncul sebagai pusat latihan penggiat animasi 3D utama bagi seluruh Zon Utara pada masa hadapan.

“Malah KKTI juga merupakan satu-satunya Kolej Komuniti di seluruh Malaysia yang menawarkan sijil kursus Penyelia Tapak Bina dengan yuran semester yang sangat murah, disamping juga menawarkan beberapa kursus jangka masa pendek yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau turut menyarankan pihak KKTI untuk memperkasakan kerjasama bersama sektor swasta bagi membuka peluang lebih luas kepada para pelajar untuk menjalankan latihan industri di syarikat-syarikat berkenaan.

“Kerjasama yang lebih erat ini dapat meningkatkan kualiti para pelajar dan juga keboleh pasaran graduan lepasan KKTI,”katanya.

Pengambilan bagi sesi Julai 2017 masih boleh didaftar sehingga tengah bulan Julai dan untuk maklumat lanjut, pihak yang berminat boleh menghubungi KKTI di talian 05-622 2134.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");