Sukan Hari Ini

Prestasi Pengadil Harus Dipertingkatkan -Che Mat

KUALA TERENGGANU: “Jika prestasi pengadil tidak ditangani segera ia bukan hanya menyebabkan pasukan teraniaya tapi juga bakal membunuh semangat penonton untuk hadir ke stadium,” kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh.

Beliau berkata, hal ini kerana penyokong sukan bola sepak, hadir ke stadium demi menyaksikan perlawanan yang menarik dan  tanpa ada sebarang kontroversi tidak diingini.

“Selain itu, mereka yang datang dari pelbagai tempat sama ada jauh atau dekat juga terpaksa berkorban masa dan wang ringgit semata-mata untuk menyokong pasukan kegemarannya.

“Tapi jika prestasi pengadil masih berada di tahap lama dan tidak ada sebarang peningkatan, sudah tentu mereka mulai berasa bosan dan seterusnya tidak hadir ke stadium untuk memberikan sokongan dalam sesuatu perlawanan.

“Akhirnya siapa yang rugi? Bukan hanya persatuan bola sepak negeri tapi impaknya juga kepada pasukan negara apatah lagi tahun ini negara kita menjadi tuan rumah Sukan SEA,” kata Che Mat.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden FAM berkata demikian sebagai mengulas keputusan pengadil perlawanan Mohd Fairuzi Mat Desa yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Terengganu ketika aksi Piala Malaysia peringkat kumpulan bertemu Johor Darul Ta’zim.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat lalu, biarpun jelas pemain Johor DT, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dengan sengaja menggunakan tangan untuk menolak bola dalam kotak penalti, tetapi pengadil tetap dengan pendiriannya untuk tidak menghadiahkan penalti.

“Setelah beberapa kali melihat klip video yang sudah tular itu, dapat saya rumuskan bahawa pengadil melakukan kesilapan, sepatutnya sepakan penalti dihadiahkan kepada Terengganu dan pemain lawan sekurang-kurangnya dilayangkan kad kuning kerana sengaja menahan bola dengan tangan,” katanya.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");