IPOH:Belia orang Asli disaran merebut peluang mempelajari pelbagai kursus kemahiran bagi mengisi peluang kerjaya pada masa hadapan.
Senator Orang Asli Semenanjung, Isa Ab. Hamid berkata golongan belia perlu bersiap sedia dengan ilmu kemahiran berikutan cabaran ekonomi kini yang semakin mencabar.
Katanya, hampir 70 peratus belia Orang Asli kini berada di arus perdana pekerjaan setelah mengikuti siri jelajah program Latihan Kemahiran kemahiran dan kerjaya (PLKK) anjuran Jakoa Malaysia.
Terdahulu Perak menjadi lokasi ke enam bagi siri jelajah PLKK Jakoa Malaysia 2017 dan program ini mensasarkan penyertaan seramai 650 orang peserta bagi fasa pertama dan 750 orang peserta bagi fasa kedua selepas Ogos tahun ini.
“Bagi fasa pertama kita menawarkan 16 kemahiran antaranya seperti automotif, dandanan dan kecantikan,hospitaliti bagi memberi peluang kerjaya buat belia orang Asli yang keciciran di pendalaman untuk mengubah hidup mereka.
“PLKK menyediakan program latihan selama tiga hingga empat bulan dan penempatan kerja kepada peserta sehingga mereka mendapat pekerjaan tetap,” katanya ketika ditemui pada program PLKK di Ipoh hari ini.
Majlis telah dirasmikan oleh ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Katanya lagi,golongan belia Orang Asli perlu merebut peluang menyertai program kemahiran yang ditawarkan untuk memastikan peluang kerjaya yang stabil buat mereka kelak.
“Belia Orang Asli dihara dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dengan mempelajari kemahiran kerana kerajaan membelanjakan RM10,000-RM15,000 bagi menyediakan krusus untuk setiap pelajar termasuk elaun bulanan serta peruntukan makanan, tempat tinggal dan pengangkutan.
“Malah kini cabaran ekonomi semakin meningkat, kos sara hidup semakin tinggi belia Orang Asli pendapatan mereka
mesti juga tinggi sekitar RM4,000 dan keatas,” katanya.
Tambahnya, bidang usahawan juga diberikan perhatian supaya golongan Orang Asli boleh menceburi bidang perniagaan.
Sementara itu, bekas peserta program PLKK, Teri Usop daripada kampung Senta Bidor peluang mempelajari ilmu kemahiran membantu dirinya memperolehi pekerjaan tetap di sebuah kilang eletronik di Bayan Lepas Pulau Pinang.
“Mulanya memang sukar mempelajari dan mengingati komponen eletronik ini tetapi semakin lama saya semakin suka dan berminat untuk belajar lebih mengenainya,” katanya.
Katanya, hidup berjauhan dengan keluarga adalah satu cabaran utama bagaimanapun jelas Teri ia satu pengorbanan buatnya untuk berjaya dalam hidup.
“Saya harap ramai lagi golongan belia Orang Asli menyertai program kemahiran seperti ini kerana ia membantu masyarakat orang Asli mengubah kehidupan,” katanya.