Isu Panas

Elak Jadi Mangsa Perang Sesama Sendiri-Hadi

KUALA LUMPUR:Seluruh umat Islam di Asia Tenggara perlu mengambil iktibar daripada krisis yang berlaku di Asia Barat supaya tidak menjadi mangsa keadaan dan tertipu sehingga sanggup berperang sesama sendiri.

Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehubungan itu juga kumpulan ulama perlu memainkan peranan menyelesaikan kemelut yang semakin mencabar dihadapi umat Islam di seluruh dunia.

“Kita menghadapi masalah pendekatan iaitu ada yang melampau tinggi semangatnya sehinggakan mahu berperang saja, tidak boleh buat pilihan raya, akhirnya berperang sesama sendiri dan berperang secara proksi.

“Apa yang berlaku di Syria, Yaman dan Libya adalah peperangan secara proksi, perang sesama sendiri dengan senjata barat, guna duit kita sendiri untuk beli senjata buatan barat dan bunuh sesama kita. Barat dapat duit, kita mati. Ini yang berlaku di Asia Barat hari ini.

“Kita harap Asia Tenggara dilindungi ALLAH SWT. Ulama Asia Tenggara perlu memahami perkembangan politik, jangan baca kitab sahaja, surat khabar kena baca juga, (tapi) jangan ditipu oleh surat khabar pula,” katanya dipetik dari laman portal Sinar Harian online.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke 4 Rantau Asia di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, yang turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Abdul Hadi berkata, dunia kini menghadapi pelbagai cabaran, termasuk Islamophobia, serangan pemikiran orang Islam yang jahil, menganut komunisme, sosialisme, berdepan konflik dalaman apabila sibuk dengan masalah khilafiah dan furu’ serta mempertahankan mazhab masing-masing.

“Untuk melangsungkan perjuangan Islam, kita perlu muhasabah diri, muhasabah kerja.

“Mengapa kerja-kerja Islam di zaman generasi awal dahulu mencapai kejayaan yang hebat dan kita tidak mencapai kejayaan sehebat mereka?” soal beliau.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, generasi awal ketika bersama Rasulullah SAW dan para sahabat hidup di tengah masyarakat jahiliah yang paling keras.

“Mereka sanggup menanam anak hidup-hidup, berperang sesama sendiri, hidup dalam undang-undang rimba, kerasnya hati macam batu-batu di padang pasir namun berjaya melembut hati dan memilih Islam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");