Membawang Hari Ini

Faizal Dampingi ‘Pengemis Muda’

AMPANG: Penyanyi Faizal Tahir berhasrat merapatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui gerakan sukarelanya, I Am Faithmen, bersama kerja amal yang turut membabitkan kedua-dua negara.

Faizal, 39, berkata program yang bakal diusahakannya adalah bagi menunjukkan keprihatinan golongan seni terhadap insan memerlukan.

Selain itu, beliau berkata, ia juga akan mengubah persepsi masyarakat bahawa insan seni bukanlah penghibur semata-mata.

“Saya mempunyai impian untuk merapatkan jurang antara kedua-dua negara menerusi program membantu anak-anak yang dipaksa mengemis di Semarang, Jakarta, suatu hari nanti.

“Idea ini timbul ketika saya mengendalikan program travelog Jelajah Hati untuk RTM. Peluang mengacarakan rancangan itu sendiri datang selepas sembilan tahun saya mengimpikan untuk menjadi pengacara.

“Mungkin orang memandang sinis kepada I Am Faithmen kerana siapalah kami untuk merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia?

“Saya melakukannya atas rasa sayang dan cintakan hubungan ini. Persefahaman antara masyarakat kedua-dua negara membuatkan saya berhasrat menganjurkan sebuah program khas,” katanya.

Faizal berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dan penyerahan cek ‘Raikan Raya’ anjuran Red Box Karaoke bersama I Am Faithmen Movement dan Awang Brand di Rumah Jagaan Warga Emas (Muslimah) Sri Mesra, di sini.

Menurut penyanyi itu lagi, demi kegiatan sukarelanya, kerjaya seninya turut dikendurkan seketika bagi mengukuhkan gerakan yang baru dua tahun ditubuhkannya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Assalamualaikum dan Sejati itu berharap usaha beliau terbabit mendapat sokongan masyarakat termasuk rakan artis, bagi membantu beliau merealisasikan program kebajikan yang bakal dianjurkan.

“Tugas kami adalah memberi pendedahan dan mendidik masyarakat mengenai aktiviti sukarela, termasuk menghulurkan bantuan kepada insan memerlukan seperti orang tua, gelandangan dan insan teraniaya.

“Kami juga akan mengadakan jelajah Faithmen bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung perkara itu,” katanya.

Menyentuh kerjaya muziknya, Faizal memberitahu, ketika ini beliau sibuk menghasilkan lagu untuk artis di bawah labelnya, Faithful Music. Antara artis yang bernaung di bawah syarikat itu ialah Caliph Buskers, Aziz Harun, Nastia, Harris Baba dan Hanie Soraya.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");