Sukan Hari Ini

FAM Tutup Periuk Nasi Dollah?

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman yang terlalu berat terhadap ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh hingga menjurus kepada percubaan membunuh kerjaya dan menutup periuk nasinya.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, menegaskan timbul persoalan sama ada luahan hati Dollah terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) terlalu sensitif hingga mengundang kepada hukuman yang terlalu berat.

“Saya berpendapat hukuman penggantungan selama 18 bulan dan denda RM30,000 kepada Dollah terlalu berat dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

“Malah saya sebagai orang biasa sukar menerimanya, apatah lagi jurulatih seperti dia (Dollah) yang banyak berkorban untuk bola sepak negara,” katanya hari ini.

Jamal yang pernah membimbing pasukan Tok Gajah sebelum ini mengakui mengikut peraturan FAM menjadi kesalahan jurulatih mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan mutu pengadilan.

“Bagaimanapun, sebagai badan induk, FAM perlu mengkaji daripada semua aspek dan bukan terus menghukumnya.

“Mungkin FAM boleh memberi amaran dan sekiranya dia sekali lagi berbuat demikian, barulah hukuman berat ke atasnya dikenakan sebagai pengajaran,” katanya.

Sabtu lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengumumkan Dollah dihukum gantung 18 bulan dan denda RM30,000 kerana mengkritik pengadil selepas pertemuan Pahang dan FELDA United, 1 Julai lalu.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagaimanapun mempertahankan keputusan itu dengan menegaskan Dollah boleh membuat rayuan mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");