Isu Panas

Jangan Masuk Campur Hal Pakatan Harapan- Mukhriz

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu mencampuri urusan dalaman Pakatan Harapan yang meletakkan tiga pemimpin dalam struktur baharu mereka.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Pakatan Harapan mengamalkan perkongsian kuasa antara empat parti tersebut, tidak seperti Umno dan BN.

“Ini urusan parti kami! Apabila sudah wujud satu kerjasama yang begitu jitu dalam Pakatan Harapan, disebut pula kita ada tiga pemimpin. Saya fikir tidak ada salah pun.

“Kalau dalam BN, Umno dilihat terlalu dominan. Bagi orang Melayu mungkin dia suka dengan dominasi Umno dalam BN kononnya Umno akan mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu,” katanya selepas hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Adun Ayer Hitam di Dewan Padang Sera, pada Ahad dipetik dari laman Sinar Harian Online.

Sebelum ini Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Pakatan Harapan bakal tenggelam kerana mempunyai tiga nakhoda dengan agenda berbeza.

Ahmad Zahid berkata, rakyat perlu menilai bagaimana sebuah pakatan mampu bergerak apabila setiap pemimpinnya mempunyai haluan sendiri tanpa adanya pemimpin utama.

Menurut Mukhriz, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Umno menunjukkan bahawa mereka mulai resah dengan kejayaan Pakatan Harapan.

“Tetapi sebenarnya kalau kita lihat masalah Felda, Mara, Tabung Haji dan semua ini agensi-agensi yang berkait dengan orang Melayu dan Islam ini bermasalah kerana kepimpinan Umno juga.

“Jadi saya fikir sudah tiba masanya kita tunjukkan satu struktur kepimpinan dalam Pakatan Harapan yang memberi ruang kepada semua parti,” katanya.

Tambahan pula, katanya, struktur kepimpinan Pakatan Harapan membuktikan bahawa dakwaan kononnya DAP akan menyerlah ataupun dominan dalam Pakatan Harapan itu meleset sama sekali.

“Ada pula seorang lagi menteri kata, tengok DAP tidak diberikan tempat yang sepatutnya. Hari itu kata DAP akan ke depan, bila kita dah tunjuk dia kata DAP pula terpinggir,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");