Sukan Hari Ini

JDT Terus Berlari, Kedah Cuba Mengejar

KUALA LUMPUR 11 Julai – Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan mereka seakan sukar dicabar apabila mengaibkan Pahang 2-0 di Stadium Darul Makmur, menyaksikan kedudukan mereka semakin selesa di puncak Liga Super.

Seawal minit pertama lagi skuad Harimau Selatan sudah menunjukkan belangnya apabila Gonzalo Cabrera menjaringkan gol pembukaan, sebelum Ignasio Insa melengkapkan kemenangan mereka ketika saingan pada minit ke-85.

“Alhamdulillah. Tiga mata penting berjaya kami perolehi di tempat lawan. Saya harap kami dapat mengekalkan momentum sebegini pada perlawanan akan datang. Tahniah saya ucapkan kepada rakan seperjuangan dan pegawai JDT.

“Dalam aksi tadi, separuh masa pertama kami agak bergelut dan bekerja keras untuk mempertahankan kelebihan jaringan.

“Selepas waktu rehat, amanat yang diberikan oleh jurulatih (Ulisses Morais) untuk memperbaiki rentak permainan di babak kedua, berjaya dilaksanakan dengan baik,” kata kapten Safiq Rahim sejurus tamat perlawanan.

Juara Liga Super tiga kali berturut-turut sejak 2014, JDT terus mengungguli tangga teratas dengan berkelebihan sembilan mata di depan tempat kedua Kedah, yang menang 4-2 ke atas pasukan kedua tercorot Melaka United dalam satu lagi aksi di Stadium Hang Jebat.

Perak pula berputih mata di laman sendiri setelah tewas 0-1 kepada Selangor, yang beraksi 10 pemain ekoran Andik Vermasnsah dilayangkan kad merah pada babak kedua, dengan gol tunggal dijaringkan oleh Francis Forkey Doe minit ke-62.

Di Stadium Negeri Batu Kawan menyaksikan pasukan tercorot Pulau Pinang terus kempunan untuk mengutip tiga mata apabila tewas 0-2 di tangan PKNS FC, manakala T-Team mengubati kekecewaan lalu dengan menundukkan Kelantan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sementara Sarawak gagal meneruskan rentak cemerlang seperti perlawanan terakhir lalu setelah kalah kepada Felda United 1-3 di Stadium Negeri.

Sementara itu, jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh melahirkan rasa kecewa di atas kekalahan di laman sendiri itu, namun memuji gaya permainan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

“Kita dah buat yang terbaik. Cuma nasib tak menyebelahi kami. Saya masih percaya dengan gaya permainan hari ini, cuma perlu ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki, sebelum ia dapat pergi lebih jauh.

“Malam ini saya rasa kecewa sebab tak dapat nak bersaing lagi menentang JDT. Namun secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain saya,” kata Dollah.- UTUSAN ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");