Sukan Hari Ini

Larian Obor KL2017: Obor Bakal Naik Wau Gergasi

KOTA BAHRU: Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena Sukan SEA ke-29 di negeri ini akan mencatatkan kelainan apabila obor akan dinaikkan ke udara dengan menggunakan wau gergasi.

Upacara itu akan berlangsung pada majlis perasmian jelajah di Pantai Irama, Bachok yang dijangka dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Sabtu ini.

Obor bersama wau bulan yang bersaiz kira-kira 30 meter itu akan dinaikkan bersama 29 wau jenis lain oleh penaik wau profesional.

Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir pada majlis pelancaran itu nanti.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Nadzri Yaacob berkata, sebelum itu, obor akan diarak sejauh 300 kilometer melalui enam daerah iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Tambahnya, obor dijangka tiba di Jeli dari Perak Khamis ini dan upacara perasmian akan diadakan dua hari kemudiannya.

“Wau kecil berjumlah 29 buah yang akan mengiringi wau gergasi itu adalah lambang sukan terbesar Asia Tenggara tersebut, yang sudah dianjurkan sebanyak 29 kali.

“Kami memilih bekas pemain bola sepak Kelantan dan negara, Yassin Mohd Noor untuk mengetuai larian obor.

“Sempena perasmian nanti, pelbagai acara turut diatur antaranya program FitMalaysia yang terbuka kepada orang ramai dan bagi mereka yang berminat, boleh mendapatkan borang secara percuma di pejabat jabatan negeri atau pejabat daerah berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran Obor Sukan SEA ke-29 dan Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2017 di KB Mall, di sini kelmarin.

Selain Khairy, kenamaan lain yang dijangka hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut giat mempromosikan program Fit Malaysia dalam usaha membudayakan masyarakat negeri ini supaya aktif bersukan.

“Satu rakyat, satu sukan mampu melahirkan masyarakat Kelantan yang dapat mengamalkan gaya hidup sihat serta bebas daripada penyakit,” katanya.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");