Sukan Hari Ini

Kem Latihan Pusat Akhir Atlet Sukan SEA Bermula 4 Ogos

PETALING JAYA – Kontinjen negara yang akan membawa cabaran Malaysia pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan dihimpunkan dalam satu kem latihan pusat bermula 4 sehingga 10 Ogos ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata matlamat utama adalah untuk memupuk semangat dalam kalangan kontinjen negara selain memberikan keistimewaan kepada atlet negara untuk menyesuaikan diri dengan venue pertandingan menjelang KL2017.

Menurutnya, pada hari terakhir perhimpunan itu juga akan diadakan satu majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen KL2017 sebagai simbolik mandat bagi membawa cabaran negara.

“Fokus utama kita mengumpulkan mereka (atlet) dalam kem ini adalah untuk menyuntik semangat dan memberikan motivasi selain memberi peluang kepada mereka meninjau dan menyesuaikan diri dengan venue pertandingan”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.

Shapawi seterusnya berharap menerusi perhimpunan itu, semangat kontinjen negara dan seluruh rakyat Malaysia dapat digemblengkan bagi merealisasikan impian melihat Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya dwitahunan itu.

“Saya berharap perhimpunan itu dapat mengabungkan semangat antara atlet negara dan seluruh rakyat Malaysia supaya sama-sama memainkan peranan untuk menjadikan hasrat muncul juara keseluruhan terlaksana,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas sasaran 100 pingat emas yang diumumkan negara jiran, Thailand, Ahmad Shapawi berkata ia tidak akan memberikan sebarang impak terhadap persiapan kontinjen negara dan menganggap ia sebagai satu motivasi berguna.

Namun, beliau menegaskan untuk Malaysia muncul juara kontinjen negara perlu sekurang- kurangnya mengatasi angka 111 pingat emas yang diraih sewaktu edisi Sukan SEA 2001, juga di Kuala Lumpur.

“Sudah pasti kita perlu meraih jumlah yang lebih baik berbanding edisi 2001. Kita perlu mendapatkan jumlah pingat yang relevan untuk muncul juara keseluruhan,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");