Isu Panas

Ketua Pemuda MIC Tebrau, 5 Pemimpin Sayap Letak Jawatan

JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda MIC Bahagian Tebrau, Datuk Mohd Daniel Abdullah bersama lima pemimpin utama sayap bahagian itu meletak jawatan, berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas mereka dikatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan bahagian berkenaan, namun menegaskan masih kekal sebagai ahli MIC serta menyokong Barisan Nasional (BN).

Turut meletak jawatan ialah Timbalan Ketua Pemuda Bahagian, Setiausaha, Timbalan Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan.

Mohd Daniel berkata, selama hampir dua tahun menerajui sayap Pemuda, kepimpinan tertinggi bahagian langsung tidak memberi pengiktirafan kepada usaha mereka selama ini.

“Kami tidak tahu mengapa segelintir pimpinan bahagian begitu risau melihat sayap Pemuda menjalankan pelbagai aktiviti bersama masyarakat di kawasan Tebrau.

“Apakah mereka menganggap kami sebagai ancaman kepada mereka sehingga pimpinan Pemuda MIC bahagian langsung tidak diberi sebarang jawatan seperti Ketua Masyarakat India atau Ahli Majlis.

“Saya berpendapat kami sebagai pemimpin muda berhak mendapat pengiktirafan kerana selama ini kami bukan sahaja menaikkan nama MIC Tebrau, malah bekerja dengan ikhlas untuk membantu masyarakat India,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Taman Desa Tebrau, pada Rabu lapor Berita Harian.

Mohd Daniel berkata, beliau juga amat kecewa dengan kepimpinan bahagian apabila didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Sebelum ini, saya dijanjikan jawatan Ketua Masyarakat India kawasan Tebrau namun diberitahu oleh segelintir pemimpin bahawa saya tidak dapat dicalonkan untuk jawatan berkenaan.

“Alasan diberikan ialah kerana saya seorang Islam dan perlu menukar agama sekiranya mahu memegang jawatan berkenaan. Persoalan saya ialah mengapa perlu dikaitkan dengan isu agama, sedangkan kita berkhidmat untuk masyarakat.

“Disebabkan saya memeluk Islam, rakan saya yang lain dalam sayap turut menerima tempias yang sama sehingga kami semua dipinggirkan,” katanya.

Mohd Daniel berkata, beliau juga akan memaklumkan keputusan berkenaan kepada Ibu Pejabat MIC dan juga Pejabat MIC Johor, hari ini.

“Walaupun meletak jawatan, kami tetap bersama MIC dan BN. Kami akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Menteri Besar Johor (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");