Sukan Hari Ini

Malaysia Sahut Cabaran Thailand

Kuala Lumpur : Malaysia sedia menyahut cabaran Thailand yang menetapkan sasaran 100 emas pada Sukan SEA Ke-29 bulan depan.

Walau bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, jumlah emas yang menjadi sasaran kontinjen negara itu hanya akan diumumkan pada masa terdekat.

“Sasaran Thailand itu memberi motivasi kepada kami untuk menyahut cabaran mereka.

“Ia cabaran yang bagus. Saya sudah menerima semua laporan daripada persatuan sukan kebangsaan dan juga angka (jumlah sasaran emas). Bagaimanapun, jumlah itu hanya akan diumumkan kemudian,” kata Khairy.

Kontinjen Malaysia yang meletakkan sasaran bergelar juara keseluruhan, akan menghantar 874 atlet untuk temasya sukan tersebut yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Thailand pula tampil dengan kontinjen kedua terbesar apabila menghantar 858 atlet sebagai usaha untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.

Antara sukan yang dilihat mampu memberikan kelebihan kepada negara Gajah Putih itu adalah olahraga, menembak, sepak takraw, muay thai, badminton, bola sepak, tenis dan taekwondo.

Pencapaian terbaik kontinjen Malaysia adalah meraih 111 emas apabila bergelar juara keseluruhan Sukan SEA 2001 ketika negara juga menjadi tuan rumah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelawaan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk skuad polo Sukan SEA negara mengadakan perlawanan persahabatan dengan Royal Johor Polo Club, Khairy yang diumumkan antara pemain terpilih menyarung jersi negara, menyerahkan kepada pihak persatuan untuk mengulas.

Ditanya kemampuan skuad polo mengulangi pencapaian emas Sukan SEA 2007, Khairy berkata, mereka akan bekerja keras menepati sasaran ditetapkan.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");