Berita Hari Ini

Malaysia, Thailand Ikrar Tingkatkan Kerjasama Perangi Dadah

CHIANG RAI: Malaysia menyatakan penghargaannya atas tindakan pantas Thailand menangkap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dengan sindiket dadah berikutan ikrar kedua-dua negara berjiran itu untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam usaha memerangi dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata Malaysia juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup 55 tan ketum dan 22 kg kokain ke Thailand dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dadah menjadi masalah global dan untuk berjaya dalam memeranginya, kami perlu bekerjasama dan bertukar-tukar maklumat perisikan,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Penguatkuasaan Undang-undang Narkotik Malaysia-Thailand Ke-38 di sini pada Khamis.

Delegasi Thailand ke mesyuarat itu diketuai Ketua Setiausaha Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Sirinya Sitdichai.

Mokhtar, yang akan bersara tidak lama lagi, menegaskan penangkapan rakyat Malaysia yang disyaki menjadi pengedar dadah oleh pihak berkuasa Thailand menunjukkan kecekapan, ketelusan dan keikhlasan agensi penguatkuasaan negara berkenaan.

Sementara itu, menurut beliau, pihak berkuasa Malaysia tidak akan membiarkan negara itu dijadikan tempat untuk mengimport, mengeksport atau menghasilkan dadah.

Pihak berkuasa Thailand mencatat dua kejayaan penting April lepas apabila menangkap dua rakyat Malaysia yang disyaki bertanggungjawab dalam beberapa cubaan membawa masuk beratus-ratus kilogram dadah ke Malaysia.

Dua lelaki berkenaan, yang dirujuk media Malaysia sebagai “Mr T” atau “Malaysian Iceman” dari Johor dan “Mr G” dari Pulau Pinang, ditangkap di Lapangan Terbang Hatyai dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok selepas pihak berkuasa Thailand melakukan pemantauan rapi.

Sementara itu, Sirinya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia atas usaha mereka menggagalkan cubaan menyeludup 55 tan daun ketum dan 22 kg kokain ke Thailand.

Thailand, kata beliau, memohon bantuan Malaysia kerana ia memiliki kepakaran dalam memerangi dan menangani masalah penggunaan ketum.

Beliau berkata oleh kerana Malaysia dan Thailand berdepan dengan masalah berkaitan penyeludupan dadah, maka kedua-dua negara perlu meningkatkan kerjasama bagi memastikan kejayaan mereka dalam memerangi dadah.

Mesyuarat tahun ini sengaja diadakan di Chiang Rai, yang terletak di utara Thailand dan di pinggir Segi Tiga Emas, yang terkenal sebagai kawasan penghasilan dadah memetik laporan Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");