Jenayah

Mangsa Kelima Rabies Di Serian Meninggal Malam Tadi

KUCHING – Mangsa kelima wabak anjing gila atau rabies meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) malam tadi.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa Tinding Lambang, 52, daripada Kampung Remun, Serian meninggal pada pukul 10:43 malam.

“Penyebab kematian adalah ‘rabies with underlying pulmonary tuberculosis’,” katanya.

Beliau berkata berikutan kematian terbaharu itu semua lima kes dalam kalangan manusia yang telah disahkan positif rabies di mana kesemuanya telah meninggal dunia.

“Kesemuanya adalah dilaporkan di Serian, Sarawak. Tiada kes baru dilaporkan buat masa ini,” katanya.

Tinding mempunyai sejarah digigit anjing pada awal Mei lalu.

Beliau kemudiannya mendapatkan rawatan setelah mengalami lemah anggota kaki, kebas, sakit belakang serta kebingungan dan dimasukkan ke HUS pada 11 Julai untuk rawatan lanjut.

Kematian Tinding yang juga mangsa dewasa pertama menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu kepada lima orang di Sarawak.

Dua adik beradik dari Kampung Paon Sungai Rimu Bakung, Serian, Monica Mazlan, 6 dan Jackson Mazlan, 4, meninggal dunia pada 4 Julai lepas sementara mangsa ketiga  Alicesa Lorenna Nody, 7, dari Kampung Lebor, Gedong meninggal dunia pada 13 Julai.

Mangsa keempat Florancesia Edward, 5, dari Kampung Ampungan, Serian, meninggal dunia pada 17 Julai.

Sementara itu Noor Hisham berkata sebanyak 20 kawasan di dalam tiga bahagian iaitu Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching telah diisytiharkan kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh kerajaan negeri.

“Sehubungan itu aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing mengikut prosedur sedia ada telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");