Berita Hari Ini

Mereka Pengkhianat Turki – Pemimpin

ANKARA: Setahun selepas cubaan rampasan kuasa digagalkan, kalangan pemimpin Turki terus mengecam apa yang mereka disifatkan sebagai pengkhianat negara dan mengkritik dunia barat yang menunjukkan lebih empati terhadap perancang rampasan kuasa dan bukannya kepada mangsa.

Negara-negara turut diingatkan akan bahaya Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto) yang hadir dalam pelbagai bentuk – dituduh menjadi dalang rampasan kuasa pada 15 Julai, 2016 – dalam perjuangan mereka.

Bercakap di Ankara, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Turki tatkala ia berusaha menangani keadaan selepas kegagalan rampasan kuasa itu, adalah amat tidak wajar.

“Sekiranya Turki sebuah negara yang tidak mendaulatkan undang-undang dan tidak peduli tentang keadilan, ribuan pengkhianat mungkin sedang bersembunyi dalam lubang-lubang dan bukannya ditahan dalam penjara,” katanya pada satu acara berkaitan dengan kegagalan rampasan kuasa itu.

Erdogan berkata negara telah dikhianati pada malam bersejarah itu yang mengakibatkan kira-kira 250 rakyat Turki mati syahid dan lebih 2,000 orang cedera.

Kerajaan Turki menuding jari kepada Feto dan pemimpinnya yang tinggal di Amerika Syarikat Fethullah Gulen berhubung cubaan rampasan kuasa yang berjaya dipatahkan itu, untuk menggulingkan Erdogan dan kerajaan pimpinannya.

Rampasan kuasa oleh pengikutnya di dalam tentera dengan menggunakan peralatan ketenteraan dipatahkan apabila rakyat biasa Turki bangun menentang kumpulan rampasan kuasa itu di sini dan di Istanbul.

Erdogan mengkritik pengkhianat Turki berkenaan yang lebih bimbangkan, contohnya, keadaan dalam penjara bagi pelaku rampasan kuasa itu dan jumlah mereka yang dikurung.

“Tetapi mereka yang dicederakan oleh peserta rampasan kuasa tidak mendapat sebarang empati. Mereka menunjukkan lebih empati kepada pengganas, bukannya mangsa,” katanya lapor Bernama.

Erdogan berkata perintah darurat yang sedang dilaksanakan di Turki akan ditarik balik sebaik sahaja semua matlamat antikeganasan yang ditetapkan kerajaan dipenuhi dan dicapai.

Pada majlis berasingan bagi meraikan wartawan, Perdana Menteri Turkir Binali Yildirim merakamkan penghargaan kepada rakyat biasa Turki yang “mempertahankan negara mereka” dengan menentang kumpulan perampas kuasa secara bersemuka.

Beliau berjanji bahawa mereka yang mengambil bahagian atau telah memainkan peranan dalam rampasan kuasa yang dipatahkan itu akan menerima hukuman setimpal mengikut lunas undang-undang .

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Dr Numan Kultumus berkata rakyat tidak harus mudah terperdaya dengan Feto kerana ia bukan pergerakan pendidikan sivik yang baik tetapi telah menyusup masuk ke dalam tentera, polis dan badan kehakiman Turki – dengan itu perlu dinyahkan daripada institusi berkenaan.

Beliau berkata sekiranya rampasan kuasa itu berjaya, tiada lagi demokrasi di Turki dan ia mungkin terheret dalam kancah perang saudara sepertimana yang berlaku di beberapa negara lain.

“Sebab itu kenapa pelaku dalam pengkhianatan ini, perancang rampasan kuasa, tidak akan dilupakan atas apa yang telah mereka lakukan,” katanya kepada media antarabangsa yang membuat liputan acara-acara yang disusun kerajaan bagi memperingati kegagalan rampasan kuasa pada 15 Julai itu.

Pada sesi berasingan dengan mereka, Timbalan Pengerusi parti pemerintah Turki, Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) dan jurucakap Mahir Unal berkata Feto hadir di kira-kira 160 negara dan oleh itu mereka tidak perlu bimbang apabila badan itu diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh kerajaan.

“Perkara sama boleh berlaku di negara-negara lain. Jadi kami juga ingin menarik perhatian negara-negara berkenaan (terhadap bahaya Feto),” katanya.

Dikatakan bahawa Feto beroperasi menerusi sekolah, pertubuhan bukan kerajaan, pelobi, media dan syarikat.

Ratusan wartawan dari seluruh dunia dihoskan oleh Direktorat Media dan Penerangan di bawah Kementerian Utama Republik Turki untuk mendapatkan gambaran lebih baik mengenai apa yang berlaku pada malam 17 Julai tahun lepas dan tindakan susulan kerajaan dalam menangani keadaan selepas kejadian itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");