Berita Hari Ini

NAFAS Jalin Kerjasama Dengan Syarikat Korea Dalam Sektor Tanaman Jagung

MUAR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan syarikat dari Korea, Welmetra Sdn Bhd bagi memperkukuh rantaian nilai pengeluaran makanan ternakan menerusi penanaman dan pengeluaran jagung.

Perjanjian itu juga secara tidak langsung turut membabitkan pemindahan teknologi dalam industri tanaman jagung bijian dan memproses makanan bagi ternakan ayam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata rancangan NAFAS itu seiring dengan hasrat kerajaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan jagung bijian bagi makanan ternakan yang berjumlah kira-kira RM5 bilion setahun.

“Jagung bijian ini adalah satu tanaman yang berpotensi untuk dikembangkan dan dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import jagung bijian dan kacang soya dari luar negara yang menjadi makanan ternakan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan MOA itu di NAFAS Feedmills Sdn Bhd di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi NAFAS, Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Menerusi MOA itu, benih jagung dari Korea akan ditanam dan diproses menggunakan mesin dan rumusan syarikat negara itu.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan perjanjian persefahaman antara NAFAS dan anak syarikat iaitu Dana Peladang Kebangsaan (DPK), NAFAS Jentera, NAFAS Agri, NAFAS Feedmills dan NAFAS Food Processing yang akan memainkan peranan dalam membantu petani dalam industri tanaman jagung bijian.

Ahmad Shabery berkata, sebelum ini kementerian membuat beberapa projek rintis tanaman jagung bijian di beberapa kawasan di Terengganu dan Kedah.

“Kita memerlukan kira-kira 300,000 hektar tanah untuk tanaman jagung bijian bagi memenuhi keperluan makanan ternakan. Bagaimanapun, buat permulaan kita menjalankan projek di kawasan seluas 800 hektar dan mungkin ia dapat diperluas kepada 80,000 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");