Perak Hari Ini

Negara Luar Mula Buka Mata Jalin Kerjasama Dengan Universiti Tempatan – Idris Jusoh

TANJUNG MALIM:Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh mengakui kedudukan ranking universiti negara meningkat disamping kejayaan sistem pendidikan tinggi telah membuka mata luar untuk menjalinkan kolaborasi terutamanya dalam bidang penyelidikan.

Terbaharu ujarnya, negara telah mendapat panggilan bagi pengiktirafan dan kerjasama dari Universiti Cambridge dan Newton Fund, sebuah organisasi penyelidikan terkemuka.

Katanya, Newton Fund sebagai contoh bersedia memberi ruang yang lebih luas kepada pensyarah-pensyarah negara ini untuk membuat penyelidikan dengan mereka.

“Banyak negara telah melihat Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi dunia serta mengiktiraf peningkatan kualiti dan sistem pendidikan tinggi negara.

“Ini satu perkara yang baik, (pengiktirafan) bukan daripada Cambrigde sahaja, Newton Research Fund pun menghubungi kita dan ingin memberi ruang lebih kepada pensyarah-pensyarah kita untuk membuat penyelidikan dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Siswa Senario Industri Masa Depan Malaysia sempena program Karnival Sains dan Teknologi (KaSTek) yang dihadiri lebih 1,500 pelajar politeknik seluruh Malaysia di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengarah PSAS Zairon Mustapha.

Mengulas lebih lanjut, Idris berkata pengiktirafan negara luar itu semakin banyak diterima sejak dua minggu lalu susulan peningkatan ranking beberapa universiti dan sistem pendidikan tinggi negara.

“Panggilan terbaru (Newton Fund) itu diterima dua hari lepas. Insya-Allah minggu depan pihak itu akan datang berjumpa KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) dan kita akan membentangkan kajian yang telah mereka buat meletakkan Malaysia satu daripada negara tarikan pelajar-pelajar ke rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Idris turut meminta semua politeknik di negara ini supaya mengubah kandungan kursus yang ditawarkan kepada pelajar bagi memastikan ia mampu memenuhi kehendak pasaran Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang lebih mementingkan robot automasi, analisis data besar dalam pelaksanaan tugas pada masa hadapan.

Beliau terdahulu turut menyampaikan Sijil Kolaborasi Industri (CoC) PSAS kepada lebih 40 industri di seluruh Malaysia serta merasmikan bilik Teaching Enable Colabrative Classroom (TECC) yang berkonsepkan pembelajaran digital.

Kolaborasi industri itu bertujuan membentuk jalinan hubungan antara industri dengan PSAS yang merangkumi bidang kurikulum, latihan, pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");