Isu Panas

‘Pembangkang Hanya Pandai Menuduh’- Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak kesal dengan sikap pembangkang yang tidak menceritakan perkara sebenar, sebaliknya menuduh kerajaan mengamalkan dasar ‘pilih kasih’.

Menerusi catatan terbaru di blog rasminya, NajibRazak.com, hari ini, jelas Perdana Menteri, pembangkang sering mengutarakan isu yang dikitar semula, malah sikap itu masih menebal apabila mereka terus menuduh kerajaan mengabaikan negeri ditadbir pembangkang iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

“Baru-baru ini, bekas Menteri Besar Kedah menuduh kerajaan mengabaikan negeri berkenaan sedangkan ia tidak benar sama sekali.

“Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk setiap negeri dalam Malaysia termasuk yang ditadbir pembangkang.

“Pemberian dana ini diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan raya negeri, pemberian tahunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus dan sebagainya,”catatnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah peruntukan untuk seluruh negeri itu setakat 2015 adalah RM6.74 bilion, malah ia menunjukkan peningkatan saban tahun.

Katanya, Kelantan menerima kira-kira RM1.94 bilion, termasuk RM378.85 juta peruntukan disebabkan kekurangan akaun mengurus bagi tempoh 2011 hingga 2015.

“Pulau Pinang pula menerima RM950.44 juta untuk tempoh sama, manakala Selangor diberi RM3.63 bilion termasuk peruntukan khas RM25.81 juta setiap tahun.

“Jumlah ini tidak termasuk projek Kerajaan Persekutuan yang bernilai berbilion ringgit di negeri-negeri berkenaan seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya, rumah mampu milik, projek perumahan rakyat, pejabat polis dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau kesal dan sedih dengan sikap pembangkang yang menuduh kerajaan zalim, selain mengabaikan negeri pembangkang.

Katanya, mereka sepatutnya tidak melontarkan tuduhan secara membuta tuli tanpa bukti kerana kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat tanpa mengira negeri yang ditadbir pembangkang atau Barisan Nasional (BN).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");