Jenayah

Pendakwaan Semula Kes Thaqif

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan permohonan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk melakukan pendakwaan semula terhadap pembantu warden sekolah tahfiz yang sebelum ini didakwa membunuh Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghadaffi. April lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata ia berikutan hasil bedah siasat yang dikeluarkan semalam mengesahkan pelajar itu meninggal dunia akibat kencing tikus, bukan kecederaan lain seperti didakwa sebelum ini.

Katanya, kertas siasatan baharu akan disiapkan minggu ini sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan menukar pendakwaan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh kepada mendatangkan kecederaan.

“Sebelum ini, kita klasifikasikan kes kepada 302 Kanun Keseksaan tetapi laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah jangkitan Leptospirosis (kencing tikus), jadi kita tidak boleh melakukan pendakwaan mengikut kes bunuh.

“Kita akan pastikan kes ini dibawa ke mahkamah dan mencadangkan inkues dijalankan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri Cawangan Khas di Bukit Aman, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan kematian Mohd Thaqif adalah disebabkan kencing tikus.

Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke HSI pada 19 April lalu selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai akibat dipukul pembantu warden madrasah tahfiz.

Selepas kedua-dua kakinya dipotong pada 22 April lalu, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku.

Bagaimanapun, pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil sebelum pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.

Susulan kejadian itu pembantu warden pusat tahfiz terbabit ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");