Sukan Hari Ini

Pengalaman Di Itali Jadi Pemangkin Akid

PELUMBA MotoGP, Valentino Rossi, telah banyak menempa kejayaan sejak tahun 2000 dan namanya akan terpahat di dalam sejarah sukan permotoran selepas berjaya merekodkan kejuaraan dunia sebanyak empat kali

Kini, ilmunya disalurkan kepada pelumba-pelumba muda menerusi Akademi VR46 di Tavullia, Itali.

Malaysia sangat bertuah selepas Kasma Daniel Kasmayuddin menjadi kelompok pertama yang berpeluang belajar dengan Rossi di Itali pada 2016, seorang lagi pelumba tempatan, Akid Aziz, dipilih untuk terbang ke Tavullia, Mei lalu, bagi menuntut ilmu permotoran di Akademi VR46.

“Saya terpilih kerana menjadi juara keseluruhan pada tahun lepas. Saya mengucapkan terima kasih kepada Hong Leong Yamaha di atas usaha mereka membawa saya ke Itali,” katanya.

Akid telah dipilih bersama lima lagi pelumba dari Asia untuk berguru di akademi tersebut.

Dia telah didedahkan dengan berlumba dengan beberapa jentera yang ditunggang buat pertama kali.

“Ia merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana dapat berlumba dengan jentera 250cc, GoKart, MiniGP, dan yang paling sukar adalah berlumba di atas litar tanah dengan menunggang motor scrambler.”

Ia ternyata membantunya dalam saingan tempatan dan peringkat Asia apabila Akid menjadi pendahulu dalam saingan Cub Prix kelas CP115 bersama pasukan Yamaha CKJ manakala dalam saingan Kejuaraan Motorsikal Asia, Akid cemerlang bersama UMA Racing Yamaha Maju Motor untuk turut menjadi pendahulu dalam saingan Underbone 150cc.

Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat anak jati Kuala Lumpur ini, menjadi alumni kedua dari Malaysia yang telah menyertai program Akademi VR46.

Mungkin satu hari nanti, berbekalkan ilmu yang ditimba di Itali, Akid bakal menjadi salah satu penyumbang legasi pelumba terbaik negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi mahupun Azlan Shah Kamaruzaman.

 

-STADIUM ASTRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");