Sukan Hari Ini

PKNP Rebahkan Sabah

KOTA KINABALU: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) terus membuktikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian musim ini apabila berjaya menundukkan Sabah 3-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

PKNP FC terlebih dulu memiliki peluang hasil cubaan pemain import mereka, Gilberto Fortunato pada minit keenam, namun cubaannya dari dalam kotak penalti terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Pada minit ke-14, Rodoljub Paunovic hampir menjaringkan gol pendahuluan buat tuan rumah bagaimanapun tandukannya selepas menerima hantaran lintang Sabri Sahar sekadar singgah di palang gol lawan.

PKNP kemudian berjaya mendahului Sabah menerusi tandukan ketua pasukan mereka Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-22 bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu hampir menambah jaringan hasil rembatan Gilberto pada minit ke-44, namun kali ini Rozaimie berjaya menyelamatkan gawangnya dan kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat babak pertama.

Pada babak kedua, tuan rumah cuba mencari gol penyamaan dan peluang mereka hadir pada minit ke-49 menerusi rembatan Lee Gil Hoon dari luar kotak penalti bagaimanapun cubaannya sedikit tersasar.

Pada minit ke-62, rembatan Shahrel dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh Rozaimie.

Bagaimanapun, sepakan sudut PKNP selepas itu berjaya ditanduk masuk pertahanan import mereka Ritus Krajauklis bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Pemain gantian, Rahman Shah Marajeh kemudian merapatkan jurang buat tuan rumah apabila meledak gol pertama pada minit ke-69 hasil satu gerakan solo menarik bagi menjadikan kedudukan 1-2.

Bagaimanapun, Ahmad Sukri Ab Hamid memusnahkan harapan Sabah untuk bangkit apabila menjaringkan gol ketiga PKNP hasil tandukan pada minit ke-86.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");