Berita Hari Ini

PM Najib Rasmi Laluan Pejalan Kaki Di Pulau Tioman

ROMPIN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Kampung Tekek ke Kampung Air Batang di Pulau Tioman, di sini.

Projek yang dibiayai Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan dilaksana oleh Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) itu mula dibina pada 22 Sept 2015 dan pembinaannya selesai pada 6 Feb lalu.

Najib sebelum itu tiba di pulau berkenaan dengan menaiki helikopter di Lapangan Terbang Kampung Tekek, Pulau Tioman dan disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Mohd Johari Hussain serta 500 penduduk dan pelajar sekolah.

Beliau kemudian meluangkan masa lebih setengah jam meninjau laluan sepanjang 310 meter dan lebar 2.4 meter itu yang dibina dengan kos bernilai RM1.6 juta.

Sebelum ini, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Tekek dan 300 penduduk di Kampung Air Batang, serta pelancong terpaksa melalui kawasan trek berbukit selain menaiki bot untuk urusan di dua-dua kampung itu.

Tok Empat Kampung Tekek Zulkainani A Hamid berkata laluan pejalan kaki itu banyak memberi kemudahan kepada penduduk kampung atau pelancong untuk berbelanja membeli barang keperluan harian dari Kampung Air Batang ke Kampung Tekek.

“Ia juga menjadi mercu tanda baharu pelancongan di Kampung Tekek yang merupakan pusat pentadbiran di pulau ini selain memudahkan urusan jika berlaku kecemasan,” katanya lapor sumber Bernama.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Air Batang Wan Mohamad Tahir Wan Abdullah, 58, menyifatkan pembinaan laluan pejalan kaki itu suatu rahmat kepada penduduk kerana memberi kesenangan dalam kehidupan seharian mereka.

“Selama ini ibu bapa terpaksa berulang alik empat kali sehari untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah dengan menaiki bukit yang tinggi.

“Setiap kali ulang alik terpaksa ambil masa 15 minit, terpaksa berhenti beberapa kali untuk menghilangkan lelah sebelum sampai ke sekolah, seksa untuk ibu bapa terutama yang sudah berusia.

“Namun dengan adanya kemudahan ini, Alhamdulillah ibu bapa tidak perlu risau dengan keselamatan anak-anak mereka dan pelajar juga dapat berulang alik ke sekolah dengan mudah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");