Jenayah

Polis Cari Dua Suspek Kes Samun

KAJANG: Polis Kajang, hari ini mengeluarkan fotofit dua lelaki dipercayai suspek samun sebuah kediaman di Kampung Masjid Bangi hingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata lakaran itu berdasarkan gambaran diberikan saksi yang ditemubual polis dalam siasatan kes itu.

Katanya, dua lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai rakyat tempatan, berusia dalam lingkungan 20-an yang mana salah seorang daripadanya mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter, berkulit gelap dan rambut berfesyen ‘flat top’.

“Seorang lagi suspek berkulit gelap dan bertocang.

“Justeru, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek berkenaan untuk tampil memberikan keterangan bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Othman berkata, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662 atau Bilik Gerakan Kajang di 03-87336580 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Syazana Amirah Asshaari retak tengkorak dan patah rahang dipercayai dibelasah penjenayah yang memasuki kediaman keluarganya.

Kejadian disedari ibunya, Siti Rafiah Mansor,48, ketika pulang dari kerja kira-kira jam 11.15 pagi selepas menemui anak bongsu dari lima beradik itu dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di atas katil di dalam bilik.

Berikutan itu, mangsa dihantar ke Hospital Kajang sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Kaji Saraf Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berdasarkan pemeriksaan doktor, tengkorak kiri dan kanan pecah, dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan tajam.

 

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");