Jenayah

Rasuah: Inspektor Dipenjara 6 Tahun Didenda RM30,000

SUNGAI PETANI – Akibat meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,700 pada 2011, seorang pegawai polis berpangkat inspektor dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohammad Khalid Ab Karim membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Syed Othman Konchong, 53, terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau kemudian menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 serta penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun, hakim itu membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili peguam Nurliyana Mohd Radzi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Mohammad Khalid juga memerintahkan tertuduh membayar kos RM2,000 kepada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar mengikut Seksyen 426(1)(a) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagi pertuduhann pertama, Syed Othman, yang ketika itu bertugas di Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, didakwa secara rasuah bersetuju menerima suatu suapan berjumlah RM1,700 daripada kontraktor bernama Fauzanudin Arafadin menerusi satu panggilan telefon pada 1.15 petang, 14 Julai 2011 sebagai suatu dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas pekerja warga asingnya yang tidak mempunyai permit sah di tapak pembinaan Klinik Kesihatan Teroi dekat Yan.

Semasa panggilan telefon berkenaan dibuat, kontraktor itu berada di dalam bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Othman didakwa secara rasuah meminta bagi diri sendiri suatu suapan berjumlah RM2,000 daripada Fauzanudin sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas pekerja warga asing terbabit di dalam kabin tapak pembinaan klinik itu pada 6 petang, 26 Jun 2011.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa secara rasuah menerima suatu suapan berjumlah RM1,700 daripada kontraktor berkenaan melalui Sarjan Abd Hamid Saad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga asing tersebut di dalam kabin tapak pembinaan klinik itu pada 4.30 petang, 14 Julai 2011.

Syed Othman dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");