Berita Hari Ini

Sabah, Sarawak Bakal Bincang Pembahagian Cukai Pelancongan

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak akan meneruskan perbincangan berkenaan dengan pembahagian cukai pelancongan oleh Kerajaan Pusat bagi memajukan lagi industri pelancongan kedua-dua negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pengagihan cukai kepada Sabah, Sarawak dan Semenanjung membolehkan lebih banyak kemudahan infrastruktur pelancongan dibina di tiga wilayah itu.

“Kedua-dua negeri sudah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut tetapi kita belum menetapkan tarikh pertemuan itu.

“Apa yang kita harapkan perbincangan itu kelak akan memberi manfaat kepada industri pelancongan kedua-dua negeri sekali gus membantu menambah pendapatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Jet Boat, Smart Hero Voyage, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Jonniston Bangkuai; Pengarah Urusan Smart Hero Voyage (Malaysia) Sdn. Bhd., John Chan; Pengurus Besar Xia Men Smart Hero Voyage Limited, Cherry Feng dan Ketua Bahagian Teknologinya, Callan Grammer.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan penarikan semula cukai pelancongan terhadap rakyat tempatan yang melancong dalam negara.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata, kadar cukai bagi pelancong asing sebanyak RM10 untuk setiap bilik satu malam adalah kekal atas semua taraf hotel.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Masidi berkata, langkah Kerajaan Pusat membatalkan cukai pelancongan ke atas pelancong tempatan dapat meringankan kos perbelanjaan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ini kerana rakyat tempatan yang menginap di hotel-hotel dalam negeri bukan semua bertujuan untuk melancong sebaliknya ada antara mereka menginap atas urusan rasmi dan bekerja,” katanya.

 

-UTUSAN ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");