Membawang Hari Ini

Saya Tidak Ambil Mudah Soal Agama – Raja Ilya

Selepas mendapat kecaman, Raja Ilya tampil membetulkan persepsi orang ramai yang menuduhnya mengabaikan agama kerana sanggup “dibedah” semata-mata ingin menjayakan filem Hollywood.

Dalam kenyataannya itu, Raja Ilya menepis dakwaan umum bahawa dia ingin melakukan prosedur itu bagi mengubah penampilan dan menghidupkan filem aksi adiwira terbitan sebuah studio terkemuka dunia.

Sebaliknya, Raja Ilya menjelaskan, pembedahan yang dimaksudkan sebelum ini cuma prosedur membuang ketulan (nodule) dihidapinya sejak tahun lalu.

Kenyataan itu pelakon terbabit kerana dia terjejas dengan kecaman segelintir pihak yang menghentamnya.

“Saya agak terkesan apabila ada netizen menganggap saya mengambil mudah soal agama hingga sanggup membuat perubahan diri.

“Malah ada netizen mengaitkan agama dalam isu ini. Saya masih seorang Muslim dan berpegang kepada ajaran Islam.

“Boleh dikatakan ramai artis lain membuat pembedahan, tetapi apa yang saya mahu lakukan ini tidak ketara,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Raja Ilya bersedia dibedah demi menjayakan sebuah naskhah filem Hollywood pertamanya, terbitan Marvel.

Beberapa langkah persediaan perlu dilakukan, termasuk menjalani pembedahan dan menghasilkan otot tubuh.

“Syarikat perfileman antarabangsa agak was-was untuk menerima pelakon dari Asia, terutama bakat beragama Islam. Begitupun demi karier dan peluang keemasan ini, saya sanggup mengambil risiko.

“Saya masih berpegang pada agama dan mereka juga tahu saya seorang Muslim. Tetapi saya katakan kepada mereka, saya boleh berikan sedikit kelonggaran.

“Mereka sukakan warna kulit saya dan mahu saya mengekalkannya seperti sedia kala. Walaupun tiada paksaan, saya berasa perlu untuk melakukan sedikit perubahan pada diri supaya dilihat setanding artis antarabangsa,” katanya.

Kata Raja Ilya untuk pihak yang tidak memahami cerita sebenar mengenai apa yang bakal dilakukannya, lebih baik mereka tidak kaitkan isu berkenaan dengan agama.

“Saya masih ada maruah dan harga diri. Apabila orang salah faham, pelbagai kritikan dan tohmahan dilemparkan,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, kegunaan prosedur EMS (electric muscle stimulation) adalah untuk menghasilkan otot tubuh dalam jangka masa lebih cepat, sesuai dengan watak yang bakal dilakonkannya.

“Bagi mendapatkan otot seperti berlatih di gimnasium, saya buat rawatan khusus untuk otot badan, bukannya pembedahan plastik. Hakikatnya, saya tidak ada banyak masa berlatih di gimnasium.

“Jadi, dengan cara ini saja saya boleh mendapatkan otot badan dengan cepat. Sekarang memang banyak rawatan tubuh disediakan di beberapa klinik,” katanya.

Bintang filem Soulmate Hingga Jannah itu akan berangkat ke AS pada Disember ini bagi menjalani penggambaran filem berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");