Membawang Hari Ini

Selepas 5 Tahun, Video Gangnam Style Akhirnya Tewas

Selepas lima tahun bertakhta sebagai video paling banyak ditonton, kedudukan Gangnam Style kini diatasi lagu dari filem aksi Furious 7, See You Again.

Lagu berkenaan disampaikan gandingan Charlie Puth dan Wiz Khalifa.

Puth sendiri adalah seorang daripada pencipta lagu berkenaan, selain Justin Franks dan Cameron Thomaz.

Sehingga awal petang ini video See You Again disaksikan lebih 2,908,352,500 kali berbanding Gangnam Style nyanyian artis Korea Selatan, Psy, yang ditonton lebih 2,897,514,790 kali.

Rekod sebelum Gangnam Style dipegang oleh lagu Baby nyanyian Justin Bieber.
See You Again diterbitkan pada 2015, memperoleh tontonan purata lebih 3 juta sehari tahun ini.

Bagaimanapun, sebuah firma penyelidikan AS, Pivotal Research, berkata hasil pendapatan daripada semua tontonan klip video itu dipercayai tidak membawa pulangan sebanyak yang dijangka.

Katanya, YouTube mengenakan caj kira-kira AS$10 bagi setiap 1,000 tontonan satu iklan yang disiarkan sebelum tayangan video itu dimainkan.

Jumlah berkenaan secara kasar mencecah AS$10 juta untuk setiap satu bilion tontonan, atau pulangan hampir AS$30 juta daripada iklan untuk setiap video berkenaan.

Sumber pula berkata, YouTube membahagikan perolehan itu dengan syarikat pengeluar yang mempunyai pelbagai formula bagi berkongsi wang itu dengan artis masing-masing.

Dalam kebanyakan kes syarikat penerbitan dan artis mendapat imbuhan sama rata.
YouTube juga memungut pendapatan daripada data yang dikumpulkan menerusi tabiat tontonan.

Sementara itu Whiz Khalifa berkata, dia sangat teruja dan berterima kasih kepada semua orang yang menyokong See You Again.

“Malah saya juga gembira apabila dapat memberi semangat dan kesan kepada ramai penonton,” katanya dilapor New York Post.

Sementara itu, Puth – penyanyi, penulis lirik dan penerbit yang pernah mendapat pencalonan Grammy – turut memberikan pendapat mengenai video berkenaan.

“Saya masih ingat detik mendaftar untuk YouTube pada 2007 dan berharap memuat naik sebuah klip video yang mencecah hingga 10,000 tontonan.

“Sekarang, sedekad kemudian, saya berasa amat teruja menjadi sebahagian daripada video paling banyak ditonton di YouTube,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");