Jenayah

Seorang Maut, Tiga Sesak Nafas Dipercayai Terhidu Gas Beracun

MELAKA: Seorang pekerja kapal, maut manakala tiga lagi rakannya sesak nafas dipercayai terhidu bahan kimia beracun dalam sebuah kapal di Jeti Kuala Linggi, di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, T. Sathis, 31, dari Kuala Selangor yang baru lapan hari bekerja, disahkan meninggal dunia sejurus mendapatkan rawatan berhampiran kapal bantuan pesisir pantai berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan 2, Ismail Iskandar Shah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.37 petang sebelum sepasukan 14 anggota bersama tiga jentera termasuk kenderaan Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat), bergegas ke tempat kejadian dipetik dari laman portal Astro Awani.

Menurut beliau, sebaik tiba, anggota bomba mendapati seorang mangsa telah terbaring di bahagian enjin kapal.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, disyaki akibat terhidu bahan kimia beracun.

Kerja-kerja mengeluarkan mangsa ujarnya, mengambil masa selama 40 minit disebabkan laluan yang agak sempit di bahagian enjin kapal berkenaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Tiga lagi mangsa menerima rawatan lanjut di hospital sama juga dipercayai terhidu bahan kimia beracun.

Operasi menyelamat tamat jam 10.30 malam tadi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");