Jenayah

SPRM Rampas Tiga Kotak Dokumen FIC

KUALA LUMPUR: Lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beredar dari Balai Felda, Jalan Gurney 1, di sini, sebentar tadi selepas hampir lapan jam melakukan siasatan di pejabat Felda Investment Corporation (FIC).

Mereka beredar dari bangunan itu sekitar jam 5.45 petang dengan membawa bersama tiga kotak berwarna kuning dan dua beg bagasi dipercayai berisi dokumen berkaitan FIC yang juga sebuah anak syarikat FELDA.

Difahamkan, semua barangan itu akan dibawa ke pejabat SPRM untuk siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh FIC antara tahun 2013 dan 2015.

Bagaimanapun, pegawai SPRM enggan ditemui pemberita dan terus meninggalkan pekarangan Balai Felda sebaik turun ke lobi utama bangunan berkenaan dengan menaiki dua kenderaan.

Terdahulu, pasukan penyiasat itu hadir di Balai Felda pada jam 10.20 pagi dan terus ke tingkat empat bangunan yang menempatkan pejabat FIC bagi melakukan siasatan serta mengambil beberapa dokumen berkaitan kes berkenaan.

Siasatan itu dibuat ekoran SPRM memperoleh maklumat baharu dalam siasatannya terhadap Felda Global Venture (FGV).

Difahamkan, semua dokumen itu diambil bagi membolehkan SPRM mengenal pasti saksi atau mana-mana individu yang boleh dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 14 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel itu.

Sementara itu, FIC dalam satu kenyataan mengesahkan kehadiran lapan pegawai SPRM ke pejabatnya untuk menyiasat pembelian hotel di London.

Katanya, FIC memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan oleh pihak SPRM.

“FIC komited memberikan sokongan terhadap usaha pihak berkaitan dalam meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, integriti serta amalan etika perniagaan yang menjadi kunci kepada tadbir urus korporat yang baik,” katanya.

-BH ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");